Tahniah : SMK Dato' Penggawa Barat menerima Anugerah JOHAN Pertandingan Pengumpulan Bahan Kitar Semula peringkat Negeri Johor 2013

24 Oktober 2013 : Majlis Anugerah Pertandingan Pengumpulan Bahan Kitar Semula peringkat
Negeri Johor 2013 telah diadakan di 'The Zon Regency Hotel' pada 10.00 pagi. SMK Dato' Penggawa Barat telah menerima Anugerah Pengumpulan Bahan Kitar  Semula Tertinggi , kategori sekolah menengah peringkat Negeri Johor 2013. Menurut sumber daripada Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam, Program Kitar Semula Kebangsaan telah dilancarkan secara rasmi pada 2 Disember 2000 di Pusat Membeli-belah Mid Valley oleh YB Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan. Pelbagai pihak turut terlibat dalam program ini seperti Pihak Berkuasa Tempatan, Syarikat Konsesi, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Syarikat swasta, Institut Pengajian Tinggi, sekolah dan sebagainya.



Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah menetapkan bahawa 11 November pada setiap tahun merupakan Hari Kitar Semula Kebangsaan. Pada masa kini , kadar kitar semula di Malaysia ialah pada kadar 5%. Kadar ini adalah rendah jika dibandingkan dengan negara-negara maju seperti negara German ( 74 % ), Belgium ( 71 % ), Austria ( 67 % ) dan Belanda ( 66 % ). Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan telah mensasarkan pencapaian kadar kitar semula di Malaysia pada kadar 22 % menjelang tahun 2020. Bagi memastikan program kitar semula mencapai matlamat yang telah ditetapkan maka pengurusan sisa pepejal yang menekankan konsep dan amalan 3R perlu dilaksanakan dengan berkesan.

Pengurangan sisa pepejal melalui penerapan 3R iaitu Reduce (Pengurangan), Reuse (Penggunaan Semula)
dan Recycle (Kitar Semula) merupakan Teras 1 dalam Dasar Pengurusan Sisa Pepejal. Elemen 3R juga merupakan sebahagian daripada Hirarki Sisa Pepejal. Penerapan amalan 3R di kalangan masyarakat secara tidak langsung dapat mengurangkan penghasilan sisa pepejal daripada dilupuskan ke tapak pelupusan. 

(Sumber : dipetik daripada Portal Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam).