PENGUMUMAN SEMASA

Assalamualaikum wbt dan Salam Muafakat Johor,
TAHNIAH KEPADA EN.MOHD SHAPHRI BIN MOHD YUSOF
DIATAS PERLANTIKAN SEBAGAI PENGETUA SMK DATO PENGGAWA BARAT

JAMUAN AKHIR TAHUN PELAJAR TINGKATAN 3

30 Oktober - Majlis Jamuan Akhir Tahun khusus untuk pelajar-pelajar Tingkatan 3 telah diadakan di Dewan Sri Gemilang pada pagi ini. Majlis yang dimulakan pada pukul 11.30 pagi dikelolakan oleh pelajar-pelajar sendiri. Majlis ini diserikan dengan kehadiran Pengetua serta barisan pentadbir SMKDPB. Dalam ucapannya Tn Hj Hashim menasihatkan pelajar-pelajar agar memanfaatkan masa terluang sepanjang cuti sekolah ini dengan membaca buku-buku Komsas  Tingkatan 4. Ini bagi memudahkan pelajar memahami pelajaran yang akan dipelajari semasa berada di Tingkatan 4 nanti. Beliau turut mendoakan kejayaan pelajar-pelajar dalam peperiksaan PMR yang lalu. Majlis dimeriahkan dengan persembahan pelajar dan cabutan nombor bertuah. majlis ini berakhir tepat jam 1.00 tengah hari.



Majlis Pelancaran Kem Membaca 1 Malaysia (KM1M 2012)



24 Oktober 2012 : Membaca merupakan satu proses kognitif dengan cara membina, memberi makna atau pengertian kepada kod-kod seperti huruf. Hasil daripada proses itu maka akan terhasil maklumat yang digunakan untuk berkomunikasi, berkongsi pendapat dan idea.
Melalui pembacaan juga, kita boleh mendidik diri dengan meningkatkan ilmu pengetahuan yang ada bagi mempertingkatkan kualiti hidup, mampu berdaya saing dan bergerak maju dalam dunia kini yang mencabar.
Malah individu yang suka membaca merupakan aset kerajaan yang tidak terhingga nilainya kerana kehidupan pada hari esok banyak bergantung kepada apa yang kita pelajari masa kini. Program Kem Membaca 1 Malaysia telah dilancarkan oleh Yang Berhormat Timbalan Menteri Pelajaran iaitu YB Datuk Ir. Dr. Wee Ka Siong pada 24 Oktober 2012, bertempat di SMK Seksyen 9, Shah Alam. Pada masa yang  sama, bagi sekolah yang mengambil bahagian, program membaca selama 2012 saat atau 33.5 minit dijalankan diseluruh negara. Ini bermakna ini berjalan serentak di seluruh negara. Antara objektif program ini adalah mengisi masa lapang murid selepas peperiksaan, menggerakkan program galakan membaca, memupuk minat membaca secara berterusan dan menjadikan PSS sebagai tempat rujukan bahan bacaan. Di sekolah kita Majlis Pelancaran Kem Membaca 1 Malaysia telah disempurnakan oleh Yang Berusaha En. Mohd. Shaphri bin Mohd Yusof, Penolong Kanan Pentadbiran, SMK Dato' Penggawa Barat pada masa yang sama. 




Program Jejak Maklumat Sempena KM1M 2012

 23 Oktober 2012 : Program Jejak Maklumat adalah berbentuk pertandingan berkonsepkan ‘Treasure Hunt’ atau ‘Explorace’. Pertandingan ini adalah berasaskan pembacaan yang mencabar minda dan kreativiti setiap murid bagi mendorong kepada penerokaan khazanah ilmu yang terdapat dalam bahan bacaan. Pertandingan ini turut menguji ketahanan mental dan fizikal para peserta termasuk semangat berpasukan serta kerjasama dalam kumpulan. Seramai 89 pelajar tingkatan 3 telah menyertai Program Jejak Maklumat yang telah diadakan SMKDPB sempena KM1M 2012. Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan dan kemahiran para pelajard dalam pencarian maklumat dengan menggunakan koleksi yang terdapat di Pusat Sumber Sekolah khususnya dan sumber ilmu lain amnya.

  

Pertandingan 'Public Speaking' sempena KM1M 2012


22 Oktober 2012: Sempena Kem Membaca 1 Malaysia pertandingan 'Public Speaking' telah diadakan bagi para pelajar tingkatan 3. Seramai 8 peserta telah mengambil bahagian. Tujuan pertandingan ini diadakan selain daripada mencungkil bakat-bakat yang ada, adalah untuk  menjana pelajar-pelajar SMKDPB mahir berkomunikasi secara lisan dan bertulis dengan penuh yakin dan berkualiti.

Bengkel Amali 'Pengurusan Jenazah'


19 Oktober 2012: Sesungguhnya kematian itu tidak pernah diundang atau dijemput, ia tidak pernah berkompromi, tidak memilih martabat atau dalam keadaan sedar atau berkhayal, dalam taqwa atau maksiat. Kematian itu pasti mencari di mana saja roh berada.

Maksud Firman Allah s.w.t :
"Di mana saja kamu berada, kematian itu akan mendapatkan kamu sekalipun kamu berada dalam kubu yang kukuh."
(Surah an-Nisaa' ayat 78)



Mati adalah bercerai roh dari badan, tetapi ianya bukanlah satu babak yang penyudah dalam arena kehidupan di dunia, malah ianya sebagai suatu proses sementara bagi menempuh kehidupan yang kekal abadi yang bermula dari alam kubur. Setiap makhluk ini tidak terlepas dari mati. 
Maksud Firman Allah s.w.t :
"Setiap yang bernyawa akan merasai mati dan sesungguhnya pahala kamu akan dibalas pada hari Khiamat."
( Surah Ali Imran ayat 185 )




Justeru, sempena Program Pendidikan Selepas PMR 2012, Bengkel Amali 'Pengurusan Jenazah' telah diadakan khusus bagi para pelajar tingkatan 3 selama satu hari. Bengkel ini bertujuan untuk memberi latihan praktikal kepada peserta agar mereka bukan sahaja tahu malah mampu untuk mengendalikan jenazah secara praktikal.








Lawatan Kerja dan Perkongsian Pintar Sekolah Tinggi Melaka (MHS) ke SMK Dato' Penggawa Barat


19 Oktober 2012 : Lawatan Kerja dan Perkongsian Pintar Sekolah Tinggi Melaka (MHS) ke  SMK Dato' Penggawa Barat bertujuan  untuk menjalinkan hubungan perkongsian maklumat yang cemerlang di antara kedua buah sekolah kluster.MHS atau kini dikenali sebagai SMK Tinggi Melaka (Malacca Free School, 1826) merupakan sekolah yang tidak asing lagi di kalangan penuntut Malaysia. Ia merupakan sekolah premier kedua tertua di Malaya selepas  Penang Free Namun. Sekolah Tinggi Melaka dilahirkan pada 9 April 1825 oleh suatu badan amal yang dipanggil "Trustee Of Orphan, church,poor, Leper and School Fund".

Namun sekolah ini berfungsi pada 7 disember 1826 di parsonage house dengan hanya 18 orang murid lelaki dan diketuai oleh Mr. T.h. Moore sebagai pengetua. bangunan ini sekarang ialah Muzium Belia Melaka pada 6 mac 1878, kerajaan telah mengambil alih pentadbiran sekolah ini dan dipindah ke bangunan gudang Belanda di Stadthuys bagi menampung bilangan pelajar yang semakin bertambah .Nama sekolah telah ditukar dari 'Malacca Free School' kepada 'The Malacca High School' pada 1878.'Malacca High School' telah memulakan sesi persekolahan di bangunannya sendiri iaitu bangunan lama Mahkamah Melaka di Jalan Kota pada 1 September 1884.
Sepanjang lawatan ini, kedua-dua pihak telah dapat menerima input yang berbeza yang saling menguntungkan. Justeru pihak SMK Dato' Penggawa Barat juga telah berhasrat untuk membuat lawatan balas semula ke SMK Tinggi Melaka selepas ini.





TRAGEDI KEBAKARAN


16 Oktober – Satu kebakaran telah memusnahkan rumah seorang pelajar SMKDPB iaitu adik Muhammad Nurhidayat bin Mohd. Jun dari kelas 2 Anggerik. Rumah mangsa letaknyadi Kampung Parit Sapran, Pontian. Kebakaran tersebut berlaku pada pukul 11.45 malam ketika keluarga berkenaan baru  sahaja tidur. Kebakaran disedari ibu mangsa yang bertindak mengejutkan seluruh ahli keluarganya untuk menyelamatkan diri. Semua dokumen-dokumen penting turut musnah dalam kebakaran itu. Menurut  bapa mangsa kebakaran dipercayai berlaku akibat litar pintas di bilik air. Kebakaran yang berlaku dalam masa 10 minit itu memusnahkan struktur rumah kediaman keluarga mangsa. Walaubagaimanapun tiada kemalangan jiwa yang berlaku.
     Adik Muhammad Nurhidayat yang tinggal di asrama mengetahui kebakaran yang berlaku itu pagi ini. Pengetua ( Tn Hj Hashim), Penolong Kanan HEM ( Pn Siti Hasnah) Kaunselor ( Pn Zahriah ), Tn Hj Md Radzi serta En Anuar berkunjung ke rumah mangsa bersama-sama mangsa untuk menziarahi keluarga mangsa. Dalam kunjungan tersebut juga Tn Hj Hashim menyampaikan sumbangan derma PIBG serta sumbangan peribadi kepada keluarga mangsa.
     Seluruh warga SMKDPB merakamkan rasa dukacita atas kejadian yang menimpa Adik Muhammad Nurhidayat dan mendoakan agar beliau dan keluarganya tabah menempuh ujian ini.

Tahniah, Naib Johan Kejohanan Hoki Sukan Prestasi Tinggi (SPTS) Peringkat Negeri Johor Tahun 2012



15 Oktober 2012 : Tahniah dan syabas kepada Pasukan Hawkeyers SMKDPB diatas kejayaan menghantar 10 pemain terbaik bagi meawakili daerah Pontian dan menjuarai Naib Johan Kejohanan Hoki Sukan Prestasi Tinggi (SPTS) Peringkat Negeri Johor Tahun 2012 yang telah diadakan di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru, Johor pada 30 September 2012. Pemain pasukan daerah ini terdiri daripada pelajar bawah 14 tahun.

Motivasi Khas : Kelas Perakaunan SPM 2012

9 Oktober 2012 : Motivasi Khas calon-calon SPM Kelas Perakaunan 2012 telah diadakan bagi memberi suntikan kayakinan dan kesungguhan kepada para pelajar untuk mencapai impian kegemilangan sempurna A+ dalam SPM 2012 yang akan dihadapi tidak lama lagi. Sesi ini telah dikendalikan oleh Ayahanda Pengetua dan dibantu oleh En.Mohd.Shapri Mohd Yusof selama 2 jam di bilik Wadah Informasi. Para calon sangat teruja mendengar nasihat dan kata perangsang dengan nada yang ceria dan bersemangat daripada Pengetua dan Penolong Kanan Pentadbiran, SMK Dato' Penggawa Barat.

Penilaian Menengah Rendah 2012

9 Oktober 2012 : Penilaian Menengah Rendah kini telah bermula. Satu penantian yang telah menjadi kenyataan dengan harapan kejayaan yang cemerlang. Di kesempatan ini, kami warga guru SMK Dato' Penggawa Barat ingin mengucapkan selamat menduduki peperiksaan PMR kepada putera dan puteri calon PMR SMK Dato' Penggawa Barat. Semoga anak-anak  semua diberikan ketenangan semasa menjawab soalan peperiksaan, diberikan kesihatan yang baik sepanjang peperiksaan, dipermudahkan semasa menjawab soalan peperiksaan dan semoga jawapan yang diberikan bertepatan dengan kehendak soalan serta berjaya dengan cemerlang.


Buatlah yang terbaik, semoga usahamu selama ini diberkati dan mendapat keredhaan Allah swt. Jangan lupa tawakkal kepada Allah setelah selesai semuanya. 

Majlis Doa Restu PMR SMKDPB 2012

5 Oktober 2012 : Program Menjelang PMR dimantapkan lagi dengan Majlis Doa Restu PMR SMKDPB 2012. Sempena majlis ini, calon-calon PMR telah dibekalkan alat-alat tulis untuk digunakan semasa menghadapi PMR 2012. Bekalan ini telah disumbangkan oleh Koperasi SMK Dato, Penggawa Barat.

BELASUNGKAWA



Al- Fatihah buat Adik Mohd Afiff Faris bin Ahmad Seri

1 Oktober 2012 : Al-Fatihah buat Adik Mohd Afiff Faris bin Ahmad Seri yang telah pergi ke Rahmatullah pada pagi ini di atas 'Kematian Mengejut'. Beliau adalah pelajar cemerlang  dari Kelas 3 Mawar, SMK Dato' Penggawa Barat yang akan menduduki PMR 2012 seminggu sahaja lagi. Seluruh warga sekolah merasai kehilangannya dan mengucapkan Takziah kepada keluarga Mohd Afiff Faris bin Ahmad Seri. Semoga pemergiannya, mendapat keampunan dan dicucuri rahmat daripada Allah s.w.t. Amin : Al-Fatihah