JURAGAN MUDA


27-29 Ogos 2014 –  Kursus Lencana Juragan Muda 2014 telah diadakan di Kem Awal Marine Rambah, SMKDPB menghantar 2 orang peserta iaitu Muhammad Danial Irfan Hanif bin Suhizulhisam dan Syaidatul Adlin Bin Abd Razak. Pelbagai aktiviti dijalankan iaitu Kembara Merdeka 16 KM, berkayak, membina rakit dan sebagainya. Tujuan perkhemahan ini dijalankan adalah untuk melengkapkan Lencana Juragan Muda. Peserta SMKDPB diiringi oleh Pn Noranisyah binti Afandi.







LULUS UJIAN PENGAKAP RAJA 2014

20 Ogos 2014 – Berita gembira buat Pengakap Laut Kumpulan 14 SMKDPB kerana salah seorang ahlinya iaitu Mohd Nashruddin bin Mohd Shah yang telah menerima keputusan rasmi lulus dalam ujian Pengakap Raja 2014.
Anugerah Pengakap Raja atau lebih dikenali juga sebagai King Scout merupakan Anugerah tertinggi bagi Pengakap Muda dan Pengakap Remaja di Malaysia. Sijil Pengakap Raja ditandatangani oleh DYMM Yang Di-Pertuan Agong Malaysia serta semua sultan di Malaysia. Anugerah Pengakap Raja ini sama taraf dengan Eagle Scout di Amerika Syarikat, Queen Scout di Australia, New Zealand & England, President Scout di Singapura dan Tiger Scout di Korea.

Tahniah Nash...Anda mengharumkan nama SMKDPB. SDPB Menjuarai...


Tahniah kepada Yang Berbahagia Tuan Haji Aminuddin bin Adam : PENGARAH PENDIDIKAN JOHOR.


Tahniah kepada Yang Berbahagia Tuan Haji Aminuddin bin Adam atas perlantikan  sebagai Pengarah Pendidkan Negeri Johor yang baru mulai 19 Ogos 2014. Kepimpinan Yang Berbahagia Tuan akan melonjakkan lagi pendidikan Johor  ke Persada Kegemilangan. Kami warga SDPB Menjuarai teguh bersama Yang Berbahagia Tuan.






Daripada seluruh warga SMK Dato' Penggawa Barat, Pontian, Johor

SBT-COACHING AND MENTORING

18 Ogos - Satu sesi Coaching and Mentoring Sekolah Berprestasi Tinggi telah dilakukan oleh pegawai-pegawai SBT, Kementerian Pendidikan Malaysia.  sesi ini telah diketuai oleh Cik Rohaida binti Abd Manap, Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan KPM. Dalam sesi ini pihak SBT, KPM melihat setiap program yang dirancang dan yang telah dilaksanakan serta melihat GROW. Terima kasih atas bimbingan dan tunjuk ajar pihak SBT-KPM.





PERTANDINGAN MENULIS SURAT 1 MALAYSIA 2014


KLIK  UNTUK DAPATKAN BORANG PENYERTAAN DAN SYARAT PERTANDINGAN

PELANCARAN BULAN KEMERDEKAAN DAN KEMPEN KIBAR JALUR GEMILANG DAERAH PONTIAN

18 Ogos – Majlis Pelancaran Bulan Kemerdekaan Ke-57 dan Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat Daerah Pontian telah diadakan di Dewan Seri Gemilang , SMKDPB. Majlis ini disempurnakan oleh Tn Hj Kamaruddin bin Abdullah, Pegawai Daerah Pontian. Majlis turut dihadiri oleh pegawai-pegawai kerajaan setiap agensi di Daerah Pontian, ketua-ketua kampung dan pelajar-pelajar sekolah.  Dalam ucapannya beliau menyeru hadirin agar mengibarkan Jalur Gemilang bagi menzahirkan rasa cinta kepada Negara Malaysia. Seterusnya Tn Hj Kamaruddin bersama-sama para hadirin dan pelajar-pelajar sekolah melekatkan Jalur Gemilang pada kenderaan awam yang lalu di sekitar Jalan Parit Masjid. Majlis diakhiri dengan jamuan pada pukul 10.30 pagi.














ZIARAH SYAWAL 2014


15 Ogos – Majlis Marhaban dan Ziarah Aidil Fitri anjuran PIBG SMKDPB telah memilih rumah seorang pelajar Tingkatan Lima iaitu Zakiah bt Idros di Parit Lapis Sayang, Benut. Majlis yang bermula pada pukul 3.30 petang didahului dengan alunan marhaban seterusnya ucapan Dato’ Nasir Safar, Pengerusi PIBG dan ucapan tuan rumah. Majlis turut dihadiri oleh Tn Hj Hashim bin Mohd Dom, En Mohd Shahpri bin Md Yusof, ketua-ketua bidang, guru-guru, AJK PIBG  serta ibu bapa para pelajar Tingkatan Lima yang tinggal berdekatan. Majlis ini merupakan aktiviti tahunan PIBG yang menghargai  jalinan silaturahim antara PIBG dan para ibu bapa penjaga pelajar. Terima kasih yang tidak terhingga kepada En Idros, tuan rumah. Selamat Hari Raya Aidil Fitri – Maaf Zahir dan Batin.







PEMBENTANGAN TIMSS 2015

14 Ogos – Bertempat di Hotel Grand Lexis , Port Dickson, Tn Hj Hashim bin Mohd Dom, Pengetua Cemerlang SMKDPB telah dijemput oleh pihak PADU  (Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan ) untuk membentangkan faktor kejayaan sekolah dalam Majlis Jamuan Makan Malam Bersama TPM. Hal ini kerana SMKDPB yang diwakili oleh pelajar-pelajar Tingkatan Dua telah memperoleh kecemerlangan dalam Mock Test 1 & 2  ( Peratus Peningkatan Tertinggi ) dalam ujian percubaan TIMSS 1 & 2. YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan  serta YB Dato’ Seri Idris bin Jusoh Menteri Pendidikan II turut berpuas hati dengan amalan-amalan yang dilaksanakan di SMKDPB seperti penggunaan ICT (Blog sekolah ), kerjasama guru-guru, penggunaan minda bawah sedar, dan majlis penghargaan kepada pelajar sempena pelancaran TIMSS sehingga memperoleh kecemerlangan dalam Mock Test 1 & 2.  Majlis turut dihadiri  YB Dato’ Mary Yap Kain Ching, Timbalan Menteri Pendidikan I dan YB P. Kamalanathan P. Panchanathan, Timbalan Menteri Pendidikan II serta Kepimpinan Tertinggi KPM.
Seluruh warga SMKDPB  mendoakan pelajar-pelajar Tingkatan Dua beroleh kejayaan cemerlang dalam Mock Test 3 dan seterusnya  ujian sebenar TIMSS pada 24 Oktober 2014. Semoga SDPB Menjuarai.











TAHNIAH PASUKAN GURU SDPB MENJUARAI MENDAPAT 3 EMAS 3 PERAK DALAM PERTANDINGAN INOVASI PENDIDKAN PERINGKAT ANTARABANGSA SEMPENA KONVENSYEN ANTARABANGSA JIWA PENDIDIK 2014

13 Ogos 2014 : 5 orang guru SMK Dato' Penggawa Barat telah dipilih untuk mewakili pasukan daerah Pontian dalam Pertandingan Inovasi sempena Konvensyen Antarabangsa Jiwa Pendidik 2014. Guru-guru berkenaan ialah Pn. Syarifah Ain Hj. Ali, En. Anuar Salleh, Hj Abd Syukor Talib, En. Shairul Azman Bahari dan Pn.Aslipah Tasarib. Kelima-lima penyertaan tersebut telah berjaya mendapat pengiktirafan 3 Emas 3 Perak. Pn.Aslipah Tasarib telah mendapat tempat pertama bagi kategori Guru Cemerlang manakala En. Shairul Azman Bahari telah mendapat tempat ke-3 bagi kategori Jabatan Pelajaran Negeri Johor. Tahniah dan syabas kepada kesemua yang telah berjaya membawa nama baik sekolah SMK Dato' Penggawa Barat di arena antarabangsa.

 

Program Kolaborasi dan Perkongsian Pendidikan antara SMKDPB dan Madrasah Al-Junied Al-Islamiah Singapura.

7 Ogos 2014 - Khamis

Seramai 26 orang pelajar dan 7 orang guru dari SMKDPB telah berjaya menjalinkan program tersebut di salah sebuah Madrasah yang terkenal di Singapura. Madrasah tersebut adalah madrasah yang tertua yang telah dibuka pada tahun 1927 oleh komuniti muslim di sana. Madrasah tersebut di bina di atas tanah wakaf  oleh Sayyid Abdur Rahman bin Junied bin Omar bin Ali Al-Junied. Pengasasnya ialah datuk  kepada Sayyid Abdur Rahman iaitu Sayyid Omar bin Ali Al-Junied.  Madrasah tersebut sehingga kini telah berjaya melahirkan ramai graduan yang berpendidikan tinggi sehingga bergraduat dari Universiti Al-Azhar di Mesir.  Madrasah AlJunied Al-Islamiah di pilih dalam program ini kerana madrasah ini telah berjaya menerapkan perkembangan ilmu agama dan duniawi selari dengan arus permodenan yang ada sekarang.

Antara objektif yang telah dicapai ialah:
 i) meningkatkan  pengetahuan dan pengalaman guru serta murid tentang sistem pendidikan yang diamalkan di Singapura.ii) mengeratkan silaturahim serta hubungan antara rakan sekerja dan murid antara dua negara.
iii) mendedahkan peserta kepada perkongsian budaya dalam ilmu pendidikan antara dua negara.
iv) memotivasikan diri murid untuk lebih cemerlang dalam mendalami ilmu khususnya Matematik.
v) memperolehi pengalaman melalui interaksi guru dan murid dalam kelas dan diaplikasikan untuk penambahbaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran.














HARI KOKURIKULUM 2014

6 - 7 Ogos 2014 – Hari Kokurikulum 2014 telah diadakan pada 6 dan 7 Ogos 2014 dengan menggabungkan beberapa aktiviti lain iaitu Perkhemahan Unit Beruniform, Kem Sukan, Pelancaran Bulan Kemerdekaan dan Pelancaran Bulan Sains Kemasyarakatan 2014.

                Perkhemahan Unit Beruniform yang bermula pada 6 Ogos 2014 disertai seramai 70 orang peserta dari pelbagai unit beruniform. Antara objektifnya adalah untuk  memberi peluang para pelajar menyertai aktiviti yang bermanfaat serta mengeratkan hubungan antara ahli-ahli unit beruniform yang terlibat. Pelbagai aktiviti diadakan seperti Explorace, ikatan dan simpulan, Night Walk dan sebagainya.
Seterusnya Kem Sukan 2014 juga telah diadakan dengan memberi pendedahan teknik asas dalam setiap permainan yang dipilih. Antara permainan yang dipelajari ialah Futsal, Bola Baling, Bola Jaring dan Hoki.  Aktiviti ini juga diadakan bagi menjayakan program Kementerian Pendidikan Malaysia iaitu 1 Murid 1 Sukan.

Akhir sekali, kemuncak Hari Kokurikulum diadakan dengan pelbagai aktiviti yang dianjurkan oleh Kelab dan Persatuan, Unit Beruniform dan Permainan. Antara aktiviti yang dijalankan ialah tayangan filem, permainan tradisional, jualan, pertandingan fesyen Muslimah dan sebagainya. Kemeriahan Hari Kokurikulum begitu menyerlah dengan kesudian YB  Tn Hj Suhaimi bin Salleh, ADUN Kukup yang sudi menyempurnakan pelancaran Bulan Kemerdekaan, Pelancaran Bulan Sains kemasyarakatan dan seterusnya menyempurnakan penutupan rasmi Hari Kokurikulum. YB  Tn Hj Suhaimi sendiri begitu teruja dengan aktiviti yang dijalankan pada Hari Kokurikulum memandangkan beliau juga merupakan bekas pelajar SMKDPB. Kehadirannya mengimbau kembali nostalgia ketika menuntut di SMKDPB.
Hari Kokurikulum tamat pada pukul 4.00 petang. Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang membantu menjayakan program yang dirancang.













PERGI DENGAN HARAPAN, PULANG DENGAN KEJAYAAN - KARNIVAL SEJARAH 2014

7 Ogos 2014 – Karnival Sejarah Daerah Pontian telah diadakan pada hari ini bertempat di SMK Dato’ Ali Haji Ahmad (SDAHA). Pelbagai aktiviti diadakan bagi menarik minat para pelajar mempelajari subjek Sejarah. SMKDPB telah menghantar peserta bagi setiap aktiviti yang dijalankan. Alhamdulillah, SMKDPB telah meraih kejayaan dengan menjadi Johan Pidato Sejarah, Johan Kuiz Sejarah Menengah Atas dan Naib Johan Kuiz Sejarah Menengah Rendah. Tahniah dan syabas diucapkan untuk para peserta dan guru pengiring.


NAIB JOHAN KUIZ MENENGAH RENDAH


JOHAN KUIZ MENENGAH ATAS


JOHAN PIDATO



BARISAN PESERTA KARNIVAL SEJARAH BERSAMA GURU PENGIRING