Tahniah SMK Dato' Penggawa Barat telah memperoleh Tawaran Baharu Pengetua bagi Tahun 2013

27 Jun 2014: Tawaran Baharu merupakan pengiktirafan kepada Pengetua dalam usaha mereka melonjakkan kecemerlangan sekolah. Penilaian terhadap pencapaian pemimpin sekolah dibuat berasaskan  kombinasi pencapaian akademik, kokurikulum, dan elemen-elemen lain yang memberi impak dalam kemenjadian murid. Pengukuran pencapaian Pengetua dibuat berasaskan Gred Purata Sekolah (GPS) dalam peperiksaan awam dan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) yang merangkumi aspek Hala Tuju Kepimpinan, Pengurusan Organisasi, Pengurusan Program Pendidikan dan Kemenjadian Murid. 

Dalam konteks inilah, Tawaran Baharu dilihat sebagai usaha yang selari dengan sistem pendidikan yang berhasrat untuk melonjakkan kecemerlangan pendidikan negara. Pada tahun ini buat kali yang kedua, SMK Dato' Penggawa Barat sekali lagi telah mendapat Tawaran Baharu Pengetua 2013. Sejumlah 18 buah sekolah negeri Johor daripada 192 buah sekolah seluruh negara telah berjaya mendapat tawaran tersebut . Majlis penyampaian sijil telah disempurnakan oleh YB Dato' Seri Idris bin Jusof, Menteri Pendidikan II, Kementerian Pelajaran Malaysia di Hotel Palace of Golden Horses, Jalan Kuda Emas, Mines Resort City, Selangor D.E.



KEJOHANAN OLAHRAGA KALI KE-50 SMKDPB

25 Jun 2014 – Kejohanan  Olahraga Kali Ke-50, SMK Dato’ Penggawa Barat telah berlangsung di Padang Kejora SMKDPB. Kejohanan yang dijadualkan pada pukul 8.00 pagi terpaksa ditunda ke pukul 9.00 pagi kerana hujan.  Perasmian Kejohanan Olahraga ini disempurnakan oleh Tn Hj Zaidi bin Ahmad, Timbalan PPD Daerah Pontian.
Kejohanan olahraga kali ini dimulakan dengan acara perbarisan lintas hormat oleh rumah-rumah sukan serta pasukan unit beruniform.  Perarakan ini diiringi oleh pancaragam Unit Semboyan RAMD Batu Pahat.  Kejohanan olahraga ini tamat pada pukul 1.00 petang. Pemenang bagi semua acara akan diumumkan dalam majlis penyampaian hadiah yang akan berlangsung pada minggu hadapan. Terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan Kejohanan Olahraga Kali Ke-50 ini.









Program Motivasi Perdana Tg 3,4 & 5 - Tengku Asmadi bin Tengku Mohammad

26 Jun 2014 – Satu Program Motivasi Perdana  telah diadakan pada hari ini. Seramai 400 pelajar Tingkatan 3, 4, dan 5  hadir bagi mendengar ceramah tersebut.Walaupun hari ini merupakan cuti umum sempena kejayaan pasukan bola sepak JDT menjuarai Liga Super namun para pelajar , guru-guru  dan staf sokongan tetap hadir secara sukarela ke Dewan seri Gemilang, SMKDPB untuk mengikuti  Program Motivasi Perdana.
                Program motivasi ini disampaikan oleh Pakar Motivasi terkenal iaitu Dr. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad dari  MAP Training & Consultancy Sdn. Bhd. Program ini bermula seawal jam 8.00 pagi dan berakhir pada pukul 1.00 petang.  Satu  pembakar semangat motivasi yang sangat menarik kepada anak-anak pelajar SMKDPB. Kelihatan para pelajar SMKDPB begitu teruja dengan kehadiran figura yang terkenal ini dan kesempatan ini digunakan sebaiknya oleh para pelajar untuk mendapatkan autograf dan bergambar bersama-sama Dr. Tengku Asmadi. Semoga para pelajar, guru-guru dan staf sokongan mendapat manfaat melalui program ini. Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini.




JELAJAH REFLEKSI DIRI



Pada 9-12 Jun 2014 seramai 6 orang pelajar, 2 orang guru dan seorang kakitangan bukan guru telah mengikuti lawatan sambil belajar ke Medan Indonesia. Lawatan ini adalah anjuran bersama Kelab Bimbingan dan Kaunseling serta Kelab J-Robik. Lawatan yang bertemakan JelajahRefleksi Diri ini adalah bertujuan untuk melihat pemandangan dan keindahan alam pencipta, mencari ilmu serta pengalaman dan mencari keinsafan diri. Banyak tempat menarik yang telah diterokai termasuklah Danau Toba yang mempunyai pemandangan yang amat unik untuk dihayati, Pulau Samosir iaitu penempatan serta lokasi suku Kaum Batak , Air Terjun Sipisopiso, Gundaling yang memberikan suasana dingin, segar dan asli. Selain daripada itu juga satu jaringanpersahabatan dengansebuah sekolah iaitu SMA Seri Wijaya telah terjalin, di mana pasukan sekolah kami  telah mengadakan persembahan senaman JRobik bagi membuktikan budaya sihat yang diamalkan di sekolah. Banyak pengalaman baru yang berguna telah diperolehi daripada lawatan ini.








Pra- Kejohanan Sukan Tahunan kali ke 50 Jubli Emas

21 Jun 2014 :  Tanggal 25 Jun 2014, akan terlakar sejarah tersendiri SMK Dato
Penggawa Barat kerana akan menyambut Kejohanan Sukan Tahunan keli ke-50 (Jubli Emas) tahun ini. Dengan usia yang telah menjangkaui lebih 1/2 abad, SMK Dato, Penggawa Barat semakin matang dan membesar dengan jayanya dengan barisan pendidik berdedikasi tinggi. Kejohanan Pra-Sukan telah bermula pada hari ini dengan acara saringan  padang dan balapan kategori L15, L18, P15 dan P18.


Majlis Perpisahan Pn. Farizwana binti Mohd Hair

19 Jun 2014 : Majlis perpisahan Pn. Farizwana binti Mohd Hair, Guru Akademik Pendidikan Moral telah diadakan secara ringkas di DSG pada hari ini. Majlis ini  diadakan  sebagai tanda ingatan dan penghargaan sekolah atas khidmat yang telah dicurahkan sepanjang perkhidmatan di SMK Dato' Penggawa Barat selaku guru akademik pendidikan moral. Pn.Farizwana telah ditukarkan ke SMK Muadzam Jaya, Bandar Muadzam Shah, Pahang Darul Makmur mulai 21 Jun 2014.

Penyerahan Piala Pusingan Pertandingan Kuiz Pelaburan PNB 1Malaysia Juara 6 Tahun berturut-turut (2008 hingga 2013)

Penyerahan Piala Pusingan Pertandingan Kuiz Pelaburan PNB 1Malaysia : Juara 6 Tahun berturutan 2008-2013 sebagai milik hakiki kepada SMK Dato' Penggawa Barat.

16 Jun 2014 : Pertandingan Kuiz Pelaburan PNB 1Malaysia merupakan program hiburdidik berbentuk kuiz. Ia terbahagi kepada empat kategori iaitu Sekolah Menengah, Universiti, Badan Beruniform dan Institut Pendidikan Guru (IPG). Bagi kategori pertama & kedua ia telah diperkenalkan pada tahun 2001 manakala kategori ketiga telah bermula pada tahun 2003. Kategori IPG di perkenalkan pada tahun 2009.  Setiap kategori masing-masing terbuka kepada pelajar sekolah menengah harian bagi pelajar tingkatan 4 & 5, pelajar universiti, anggota beruniform pelbagai pangkat dan guru-guru pelatih.

Logo Pertandingan Kuiz Pelaburan PNB (warna biru) dan Piala Pusingan di atas telah diperkenalkan secara rasminya di dalam Majlis Pelancaran Pertandingan Kuiz Pelaburan PNB 2006 oleh YB Dato’ Mustapa bin Mohamed, Menteri Pengajian Tinggi pada 24 Mac 2006 di Dewan Besar, Pusat Kesenian & Kebudayaan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia.
Objektif pertandingan ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan & pendidikan mengenai perkaitan antara risiko & pulangan dari pelaburan dengan berteraskan pelaburan jangka panjang untuk strategi jangka panjang; dan menguji pengetahuan tentang isu-isu, istilah dan perkembangan semasa dunia pelaburan, ekonomi dan kewangan di samping menekankan manfaat menyimpan & melabur dan kepentingannya dalam perancangan kewangan peribadi & keluarga.

Program tahunan ini dianjurkan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan dikelolakan oleh Unit Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) di bawah Jabatan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi dan badan-badan beruniform yang bertanding.

Sejak tahun 2008 hingga 2013 Juara 'Pertandingan Kuiz Pelaburan PNB 1Malaysia' telah dimiliki oleh SMK Dato' Penggawa Barat Sekolah Berprestasi Tinggi.  SMK Dato' Penggawa Barat juga merupakan sekolah Kelab Pelaburan PNB 1Malaysia.

Majlis Penyerahan Piala tersebut telah disempurnakan oleh Tun Ahmad Sarji bin Abdul Hamid selaku Pengerusi Permodalan Nasional Berhad di PNB Ilham Resort, Port Dickson pada 16 Jun 2014.

Jambori Pengakap Antarabangsa Terengganu 2014


1-6 Jun 2014 – Jambori Pengakap Antarabangsa Terengganu 2014 telah diadakan di Kem Tengku Muhammad Ismail, Telaga Batin, Terengganu. Ahli-ahli Pengakap Laut Kumpulan 14 turut menyertai jambori kali ini. Seramai 33 orang pelajar dan 3 orang guru pengiring telah berkampung di Kem Tengku Muhammad Ismail, Terengganu.









                Pelbagai aktiviti diadakan seperti memanah, mencanting batik, flying fox, paintball dan sebagainya. Aktiviti tersebut dibahagikan kepada beberapa sektor iaitu Sektor A (Permainan Tradisional ), Sektor B (Kraf Tradisional), Sektor C (Aktiviti Air )dan Sektor D (Aktiviti Darat ) yang kesemuanya berjumlah 25 aktiviti pelbagai sektor. Perasmian disempurnakan oleh  YAB Dato’ Haji Ahmad Razif bin Abdul Rahman, Menteri Besar Terengganu. Antara negara yang turut hadir ialah Pakistan, Indonesia, Brunei, Singapura, Hong Kong, Thailand, Ghana dan United Kingdom. Program yang bertemakan ‘Apresiasi Alam’ itu anjuran bersama Kerajaan Terengganu, Majlis Pengakap Negeri Terengganu dan Persekutuan Pengakap Malaysia.













10 Fakta TISJ 2014

1.     Cikgu Ehsan, Wak Senam dan Nadrah Nurfadzlin mengalami keracunan makanan akibat makan Mi Goreng Tasha Shila di Muadzam Shah. Wak Senam hanya keracunan hari pertama sahaja, Nadrah Nurfadzlin hanya muntah-muntah dan Cg Ehsan ditahan di Hospital Sultanah Nur Zahirah Terengganu sehingga 5 Jun.
2.     Enam pelajar mengalami simptom demam dan dirawat di sick bay yang dikendalikan oleh Angkatan Tentera Malaysia.
3.     Komunikasi dengan pelajar-pelajar Pendidikan Khas iaitu Allen Lee Chen, Chong Xue Nie dan Mohammad Faiz menggunakan teks melalui telefon bimbit setelah Cg Ehsan ditahan di wad.
4.     Beberapa orang cikgu SMKDPB turut menjengok di Kem Telaga Batin iaitu Cg Ramli, Pn Hjh Saodah, Pn Yanti dan Pn Rabbiatul Adawiah.
5.     Lima orang bekas pelajar SMKDPB juga turut menyertai TISJ dan bersama-sama kami di kontinjen Johor.
6.    Johor mendapat tempat kedua dalam pertandingan Pintu Gerbang di mana proses mengambil buluh dan dibawa ke Terengganu seterusnya mendirikan pintu gerbang dilakukan oleh kontinjen Pontian.
7.      Sebuah lagu khas dicipta untuk kontinjen Pakistan yang berbunyi…”Dil…dil...dil..dil... Pakistan…Jah...jah…Jaha …Pakistan….”
8.      Cg Ehsan menerima sumbangan daripada Masjid Negara ketika berada di hospital.
9.      Mohd Afiq Rahiman kehilangan wang tunai serta kad pengenalan dan laporan polis dibuat  di Balai Polis Gong Badak.
10.    Masa diambil untuk membeli keropok lekor semasa dalam perjalanan pulang ialah selama 1 jam 30 minit. Hampir kesemua pelajar dan guru-guru turut membeli sebagai oleh-oleh untuk dibawa pulang ke Johor.