KUNJUNGAN SYAWAL PIBG


27 Ogos – Kunjungan Syawal PIBG ke rumah pelajar cemerlang SPM 2012 iaitu adik Nur Syazwani binti Samiri pada petang ini di Kampung Parit Maklumi, Ayer Baloi, Pontian. Rombongan  yang diketuai oleh YDP PIBG YB Dato’ Nasir Safar turut disertai Pengetua Cemerlang, Tn Hj Hashim bin Mohd Dom, AJK PIBG, guru-guru serta para pelajar SMKDPB. Ketibaan rombongan disambut oleh En Samiri dan isteri serta keluarga. Walau bagaimanapun adik Nur Syazwani tiada di rumah kerana mengikuti pengajiannya di Universiti Teknologi Petronas (UTP). Kunjungan ini dimeriahkan lagi dengan Marhaban yang diketuai oleh adik Mohd Asyraaf bersama-sama pelajar asrama SMKDPB. Seterusnya, ahli rombongan dijemput menikmati hidangan yang disediakan. Dalam ucapannya, En Samiri mengucapkan terima kasih kepada ahli rombongan yang sudi berkunjung ke rumahnya. Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada PIBG dan guru-guru yang mendidik anak-anaknya selama ini. Seterusnya dalam ucapan balas, YB Dato Nasir Safar mengharapkan agar majlis seperti ini terus diadakan sebagai tanda terima kasih kepada pelajar-pelajar yang mengharumkan nama sekolah di samping mengeratkan silaturahim. Peserta rombongan bertolak pulang pada pukul 3.45 petang. Terima kasih kepada keluarga En Samiri. Selamat Hari Raya Aidil Fitri.

MAJLIS PELANTIKAN PENGAWAS SESI 2013/2014

23 Ogos – Majlis pelantikan pengawas sesi 2013/2014 telah berlangsung pagi ini di Dewan Sri Gemilang, SMKDPB. Majlis yang bermula seawal  jam 7.20 pagi dimulai dengan perarakan masuk pengawas sesi 2012/2013 dan pengawas sesi 2013/2014. Majlis seterusnya ialah  akad  penyerahan tugas daripada Ketua Pengawas Sesi 2012/2013 iaitu Mohd Hamzi bin Mohd Kasmadi kepada Ketua Pengawas Sesi 2013/2014 iaitu Ahmad Akmal bin Abd Aziz.  Majlis ini disaksikan oleh Pengetua Cemerlang, Tn Hj Hashim bin Mohd Dom serta barisan pentadbir , guru-guru dan anak-anak SDPB Menjuarai! Semoga barisan pengawas yang dilantik akan menjalankan tugas dengan komited. Tahniah dan syabas diucapkan.


KEJOHANAN BALAPAN & PADANG KE-49, PERINGKAT SEKOLAH 2013

22 Ogos 2013 : Kejohanan Sukan Balapan & Padang kali ke 49 peringkat sekolah telah diadakan pada hari ini. Majlis Perasmian telah disempurnakan oleh Tn.Hj. Zahrul-lail bin Ab. Moez mewakili Yang Berhormat Tn.Hj.Suhaimi bin Salleh, Ahli Dewan Undangan Negeri, Kawasan Kukup. Majlis terpaksa ditangguhkan buat seketika sebaik selepas upacara perbarisan masuk rumah sukan disebabkan hujan turun dengan lebatnya. Walau bagaimana pun, majlis diteruskan seperti biasa selepas keadaan cuaca kembali cerah.


Keputusan tidak rasmi Sukan Tahunan :

KEPUTUSAN PENUH
KEDUDUKAN
RUMAH SUKAN
MARKAH
1
PANGLIMA
459
2
TEMENGGUNG
387
3
BENDAHARA
371
4
LAKSAMANA
358

PERBARISAN:
KEDUDUKAN
RUMAH SUKAN
1
TEMENGGUNG
2
LAKSAMANA
3
BENDAHARA
4
PANGLIMA

PERTANDINGAN HIASAN KHEMAH:
KEDUDUKAN
RUMAH SUKAN
1
TEMENGGUNG
2
PANGLIMA
3
BENDAHARA
4
LAKSAMANA

·        Markah yang dikumpul termasuk sukantara, pra kejohanan, sukan olahraga, perbarisan dan khemah.



PILIHAN RAYA TINGKATAN ENAM SMKDPB 2013/2014

2 Ogos – Pilihan Raya Tingkatan 6 telah diadakan pada pagi ini bermula jam 9.00 pagi hingga 11.00 pagi. Pilihan Raya ini bertujuan untuk memilih wakil MPPPU 2013/2014. Seramai 253 orang pelajar Tingkatan 6 menunaikan tanggungjawab memilih pemimpin mereka. Guru-guru Tingkatan 6 juga terlibat dalam proses pemilihan pemimpin pelajar.Proses membuang undi berjalan lancar. Semoga kepimpinan yang baharu dapat memimpin pelajar-pelajar Tingkatan 6 ke arah  kecemerlangan.

                                                

MAJLIS PELANCARAN BULAN KEMERDEKAAN DAN BULAN SAINS KEMASYARAKATAN 2013

2 Ogos- Majlis Pelancaran Bulan Kemerdekaan dan Bulan Sains Kemasyarakatan telah diadakan pada pagi ini bertempat di hadapan Dewan Sri Gemilang. Pelancaran majlis ini disempurnakan oleh Tn Hj Hashim, Pengetua Cemerlang SMKDPB. Majlis ini bertujuan untuk memupuk semangat patriotisme dalam kalangan warga SMKDPB.
Majlis yang bermula seawal jam 7.15 pagi ini dimulai dengan bacaan doa yang menyentuh  kalbu oleh Tn Hj Shukur yang memohon agar keamanan negara sentiasa terpelihara. Majlis seterusnya ialah penyampaian Jalur Gemilang kepada kelas-kelas, Bicara Tokoh dan kibaran Jalur Gemilang oleh Tn. Hj Hashim. Simbolik pelancaran seterusnya ialah Tn Hj Hashim melepaskan seekor burung merpati sebagai menghargai kebebasan dan keamanan di bumi Malaysia.

 

 


 

BINGKISAN SYAWAL UNTUK PEKERJA SWASTA 2013

2 Ogos - Majlis Bingkisan Syawal untuk pekerja-pekerja swasta telah diadakan pada pukul 11.00 pagi di Bilik Wawasan SMKDPB. Majlis ini diadakan bertujuan untuk menghargai pekerja-pekerja swasta yang banyak membantu sekolah dalam melaksanakan setiap aktiviti sekolah. Seramai 21 orang pekerja swasta menerima Bingkisan Syawal  yang disampaikan oleh Tn Hj Hashim bin Mohd Dom, Pengetua Cemerlang. Semoga kemeriahan menyambut Aidil Fitri dapat dikongsi bersama. Salam Aidil Fitri buat semua pekerja-pekerja swasta SMKDPB.



Majlis Penyampaian Bingkisan Syawal 2013

2 Ogos 2013: Seramai 50 pelajar kurang berkemampuan telah menerima bingkisan syawal sebagai satu sumbangan daripada pihak Bahagian Pungutan Zakat, Jabatan Agama Islam Johor, PIBG serta guru-guru SMK Dato' Penggawa. Majlis penyampaian telah disempurnakan oleh Tn.Hj Hashim bin Mohd Dom, Pengetua Cemerlang SMK Dato' Penggawa Barat.

Majlis Bersama Pemimpin Pendidikan Johor : Program Pengarah Turun Padang Sekolah-sekolah daerah Pontian.

1 Ogos 2013 : Majlis Bersama Pemimpin Pendidikan Johor : Program Pengarah Turun Padang Sekolah-sekolah daerah Pontian telah diadakan di Dewan Serbaguna, Bangunan Mahkamah Syariah Daerah Pontian. Tn.Hj. Hashim bin Mohd Dom, Pengetua Cemerlang SMK Dato' Penggawa Barat telah menyampaikan satu perkongsian pengalaman bertajuk 'Juara Kuiz PNB 6 tahun berturut-turut (2008-2013)  peringkat kebangsaan'.

MAJLIS IFTAR JAMA'IE BERSAMA PENGARAH PENDIDIKAN JOHOR 2013

31 Julai – Majlis Iftar Jama’ie bersama Pengarah Pendidikan Johor telah diadakan pada petang ini bertempat di Asrama SMKDPB.Majlis dimulakan seawal jam 4.30 petang dengan solat asar berjemaah. Seterusnya Majlis Khatam Al-Quran diadakan dan sijil-sijil kepada para peserta khatam Al-Quran disampaikan oleh En Mohd Shahpri ( Penolong Kanan Pentadbiran).
            Majlis diteruskan dengan Tahlil Perdana kepada arwah-arwah yang dihajatkan oleh warga SMKDPB dan Tazkirah Ramadan yang disampaikan oleh Ustaz Wan Mohd Yusli. Seterusnya ucapan oleh Tn Hj Msduki bin Hj Shahri ( Pegawai Pendidikan Daerah Pontian) dan ucapan oleh Tn Hj Shaharuddin Bin Hj Sharif  Ketua Sektor Jaminan Kualiti (Wakil Rasmi Pengarah Pendidikan Johor)
            Acara kemuncak ialah iftar bersama Wakil Rasmi Pengarah Pendidikan Johor di surau SMKDPB disusuli solat Maghrib yang diimami Ustaz Sobri daripada PPD Pontian. Jamuan makan diadakan di Asrama SMKDPB bersama-sama Pegawai-pegawai JPNJ, Pegawai-pegawai PPD, Para guru dan anak-anak SDPB Menjuarai.
            Seterusnya solat Isyak dan solat terawih yang diimami Tn Hj Shukor. Majlis diakhiri dengan jamuan moreh pada pukul 9.50 malam. Sekalung penghargaan dan jutaan terima kasih kepada para tetamu yang sudi hadir memeriahkan Majlis Iftar Jama’ie.