Penyerahan Piala Pusingan Pertandingan Kuiz Pelaburan PNB 1Malaysia Juara 6 Tahun berturut-turut (2008 hingga 2013)

Penyerahan Piala Pusingan Pertandingan Kuiz Pelaburan PNB 1Malaysia : Juara 6 Tahun berturutan 2008-2013 sebagai milik hakiki kepada SMK Dato' Penggawa Barat.

16 Jun 2014 : Pertandingan Kuiz Pelaburan PNB 1Malaysia merupakan program hiburdidik berbentuk kuiz. Ia terbahagi kepada empat kategori iaitu Sekolah Menengah, Universiti, Badan Beruniform dan Institut Pendidikan Guru (IPG). Bagi kategori pertama & kedua ia telah diperkenalkan pada tahun 2001 manakala kategori ketiga telah bermula pada tahun 2003. Kategori IPG di perkenalkan pada tahun 2009.  Setiap kategori masing-masing terbuka kepada pelajar sekolah menengah harian bagi pelajar tingkatan 4 & 5, pelajar universiti, anggota beruniform pelbagai pangkat dan guru-guru pelatih.

Logo Pertandingan Kuiz Pelaburan PNB (warna biru) dan Piala Pusingan di atas telah diperkenalkan secara rasminya di dalam Majlis Pelancaran Pertandingan Kuiz Pelaburan PNB 2006 oleh YB Dato’ Mustapa bin Mohamed, Menteri Pengajian Tinggi pada 24 Mac 2006 di Dewan Besar, Pusat Kesenian & Kebudayaan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia.
Objektif pertandingan ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan & pendidikan mengenai perkaitan antara risiko & pulangan dari pelaburan dengan berteraskan pelaburan jangka panjang untuk strategi jangka panjang; dan menguji pengetahuan tentang isu-isu, istilah dan perkembangan semasa dunia pelaburan, ekonomi dan kewangan di samping menekankan manfaat menyimpan & melabur dan kepentingannya dalam perancangan kewangan peribadi & keluarga.

Program tahunan ini dianjurkan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan dikelolakan oleh Unit Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) di bawah Jabatan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi dan badan-badan beruniform yang bertanding.

Sejak tahun 2008 hingga 2013 Juara 'Pertandingan Kuiz Pelaburan PNB 1Malaysia' telah dimiliki oleh SMK Dato' Penggawa Barat Sekolah Berprestasi Tinggi.  SMK Dato' Penggawa Barat juga merupakan sekolah Kelab Pelaburan PNB 1Malaysia.

Majlis Penyerahan Piala tersebut telah disempurnakan oleh Tun Ahmad Sarji bin Abdul Hamid selaku Pengerusi Permodalan Nasional Berhad di PNB Ilham Resort, Port Dickson pada 16 Jun 2014.