SMKDPB Menjuarai Kejohanan Bola Jaring MSSD Pontian 2013

Kejohanan Bola Jaring MSSD Pontian telah berlangsung pada 18 dan 19 April di Padang SMK Dato' Yunos Sulaiman, Pekan Nenas. Kontigen SMKDPB terdiri daripada 12 orang pemain bawah 18 tahun dan 12 orang pemain bawah 15 tahun bersama 5 guru pengiring. 

Pada hari pertama, kedua-dua pasukan bola jaring telah mengekalkan rekod tanpa kalah dan berjaya menjadi Johan Kumpulan dan seterusnya menempatkan diri ke peringkat separuh akhir pada hari kedua. Pada hari yang berikutnya, seperti yang dijangkakan, kedua-dua pasukan berjaya melangkah ke peringkat akhir kejohanan.

Semasa perlawanan akhir, Pasukan Bawah 15 tahun telah membuktikan bahawa SMKDPB adalah pasukan yang harus digeruni dengan jumlah jaringan bergaya 13 berbalas 2, sekaligus dinobatkan Juara Kejohanan Bola Jaring MSSD 2013 Bawah 15 tahun buat kali kedua berturut-turut.

Pasukan Bawah 18 tahun berjaya menempah tempat Naib Juara setelah tewas hanya 3 gol kepada pasukan tuan rumah, yang juga merupakan musuh tradisi, SMK Dato' Yunos Sulaiman. SMKDPB merupakan satu-satunya sekolah yang berjaya menghantar kedua-dua pasukan ke peringkat akhir dan itu sudah membuktikan bahawa SMKDPB Menjuarai.

Hasil corak permainan cemerlang yang telah ditunjukkan, seramai 9 orang pemain telah terpilih untuk mewakili Daerah Pontian ke Bola Jaring MSSJ yang bakal berlangsung pertengahan Mei nanti. Doakan kejayaan kami di peringkat negeri dan terus mengharumkan nama SMKDPB.

Sekalung tahniah buat semua pemain dan guru yang telah memulakan sesi latihan intensif dan konsisten seawal bulan Februari termasuk hujung minggu. Segala usaha dan kerja keras telah dibayar dengan kemenangan yang penuh gemilang ini. Terima kasih juga buat semua warga SMKDPB yang telah memberi sokongan dan mendoakan kejayaan ini. Semoga pasukan Bola Jaring SMKDPB terus menjuarai untuk tahun-tahun yang akan datang insyaAllah.




Disediakan oleh,
Pn Fadhlunnisak Hanaffi