SETITIS TINTA PENGETUA

Assalamualaikum wbt dan Salam Muafakat Johor,
Salam Sejahtera, Salam 1 Malaysia dan Salam Muafakat Johor. Bersyukur saya ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnia serta izin-Nya, kita dapat meneruskan khidmat bakti di sekolah tercinta ini. Semoga kegemilangan dan kejayaan terus menerangi kehidupan kita semua yang mempunyai amanah besar untuk meningkatkan akses pendidikan berkualiti di sekolah kita. Marilah kita memperbaharui tekad dan menyuntik semangat baru dalam melonjakkan kecemerlangan SMK Dato Penggawa Barat pada tahun 2018 dan tahun- tahun yang mendatang. Sesungguhnya, sekolah adalah nadi utama dalam usaha membangunkan modal insan yang memacu kemajuan negara pada masa hadapan. Matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara maju amat bergantung kepada keupayaan warga sekolah terutamanya para pendidik yan berpengetahuan kelas pertama, berketrampilan dan berdaya saing yang sihat bagi melakar pembangunan modal insan dalam kalangan murid SMK Dato Penggawa Barat berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Para pendidik harus mempunyai hala tuju yang jelas dan mengutamakan aktiviti peningkatan profesionalisme agar mampu memberi impak yang tinggi terhadap kecemerlangan anak didik dalam bidang akademik, kokurikulum dan sahsiah. Dalam menghadapi persaingan pada peringkat global, kejayaan sesebuah sekolah amat bergantung pada pengetahuan, kemahiran dan kompetensi yang dimiliki oleh warga sekolah. Oleh itu, setiap warga pendidik perlu meningkatkan ilmu pengetahuan, kemahiran serta melipatgandakan usaha bagi melahirkan modal insan yang berilmu, kreatif dan inovatif untuk mengisi keperluan masa kini dan masa hadapan. Bagi memastikan kelangsungan pembangunan pendidikan, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) dilaksanakan. Pelan ini melakarkan visi sistem pendidikan dan murid yang memenuhi keperluan negara pada masa hadapan. Pelan ini berhasrat mencapai lima keberhasilan teras pendidikan bagi menentukan kejayaan sistem pendidikan. Lima aspirasi sistem pendidikan Malaysia ialah akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan. Justeru, PPPM juga telah menyusun transformasi yang dilaksanakan dalam tiga gelombang. Gelombang pertama memberi sokongan kepada para pendidik, gelombang kedua mempercepat peningkatan kemajuan sistem, dan gelombang ketiga ialah beranjak ke arah kecemerlangan dengan peningkatan keluwesan operasi. Oleh itu, sebagai pendidik kita hendaklah menerima transformasi ini dengan minda yang terbuka dan melaksanakannya bagi mencapai visi yang dihasratkan. Pengajaran yang berkesan melibatkan proses memindahkan ilmu oleh guru di samping memperkembang potensi murid. Bagi murid, pembelajaran merupakan suatu proses mengumpul maklumat dan pengalaman secara berterusan. Dalam hal ini, pengintegrasian ICT dalam PdPc memberikan kesan berganda kepada murid-murid bagi melahirkan murid yang kreatif dan inovatif. Oleh hal yang demikian, pelbagai aplikasi seperti e-pembelajaran, sidang video dan pelbagai inovasi teknologi yang diperkenalkan amat relevan dengan keperluan semasa murid kerana teknologi ini membolehkan murid mendapat maklumat dalam masa yang singkat. Dalam era globalisasi, warga sekolah semestinya melengkapkan diri dengan maklumat terkini supaya dapat bertindak balas terhadap pembangunan teknologi baru. Kejayaan-kejayaan yang dilakar selama ini adalah disebabkan pengamalan budaya kerja cemerlang oleh semua warga sekolah ini. Budaya kerja ini bukan sahaja dapat melahirkan golongan pendidik dan murid yang berdedikasi tetapi juga memberi impak yang besar kepada ‘output’ dan ‘outcome’ hasil daripada pengamalan budaya kerja tersebut. Diharapkan generasi yang dihasilkan kelak adalah golongan murid yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik tetapi merangkumi semua aspek kehidupan sebagaimana yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu melahirkan pelajar yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelektual. Akhir kata, setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua warga SMK Dato Penggawa Barat dalam memberikan sumbangan kepada pihak sekolah. Segala usaha murni ini perlu diteruskan lagi agar mencapai kejayaan yang lebih cemerlang seterusnya dapat menyumbang bakti pula kepada masyarakat, agama, bangsa dan negara. Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat hendaklah dijadikan amalan. Semoga segala tugas yang diamanahkan dapat dilaksanakan dengan jayanya. Ingatlah, orang hebat mampu melahirkan beberapa karya berkualiti, tapi guru berkualiti mampu melahirkan ribuan orang hebat. Selamat menjalankan tugas kepada semua warga SMK Dato Penggawa Barat, moga 2018 kita berada di mercu. Yakinlah dan pastikan SDPB MENJUARAI.
MOHD SHAPHRI BIN MOHD YUSOF

BAHAS ALA PARLIMEN 2012


2 April 2012 – Pasukan Bahas Ala Parlimen SMK Dato’ Penggawa Barat muncul juara setelah menewaskan pasukan bahas SMK Sri Kukup. Pasukan SMKDPB yang diwakili oleh Muhammad Nur Syafiq Mohd Ali , Nuramira Mohd Ariffin, Nur Husna Ismail, Siti Noorseha Pairit dan Nurul Nasuha Mohd Mustafa telah menunjukkan persembahan yang meyakinkan para juri untuk muncul juara. Pasukan ini dibimbing oleh En Anuar Salleh dan Pn Sharifah Ain Hj Ali.
                Sebelum ini pasukan bahas SMKDPB telah menempuh perjalanan yang berliku sebelum sampai ke pertandingan akhir. Pada 23 Mac SMKDPB bertemu SMA An-Nur, dalam pertandingan ini SMKDPB diundi sebagai pembangkang berjaya mengalahkan SMA An-Nur . Muhammad Nur Syafiq dipilih sebagai pembahas terbaik.
                Seterusnya pada 26 Mac pasukan SMKDPB bertemu SMK Dato’ Mohd Yunus Sulaiman. Sekali lagi diundi sebagai pembangkang dan berjaya menewaskan SMKDMYS. Dalam pertandingan ini juga Muhammad Nur Syafiq dipilih sebagai pembahas terbaik.
                Mengakhiri perjalanan di peringkat daerah SMKDPB bertemu SMK Sri Kukup. Dalam undian yang dijalankan SMKDPB juga diberi peranan sebagai pembangkang dan berjaya mengenepikan saingan sengit daripada SMK Sri Kukup. Pembahas terbaik juga dirangkul oleh Muhammad Nur Syafiq.
                Tahniah diucapkan kepada pasukan bahas dan sekalung tahniah juga kepada Muhammad Nur Syafiq yang berjaya menjadi pembahas terbaik bagi ketiga-tiga perbahasan tersebut. Kepada guru pembimbing juga diucapkan tahniah. Juga tidak dilupakan kepada semua guru dan pelajar SMKDPB  yang  memberi  idea, buah fikiran, sokongan dalam apa jua bentuk. Kami amat menghargainya!
                Mohon doa restu dan sokongan warga SMKDPB kepada pasukan bahas yang akan bertanding di peringkat negeri pada 12 Apri 2012. Semoga pasukan ini akan terus mara ke peringkat yang lebih tinggi. Insyallah.