MESYUARAT AGUNG PIBG KALI KE-29


15 Mac 2014 – Mesyuarat Agung PIBG Kali Ke-29 telah diadakan pada pagi ini bertempat di Dewan Seri Gemilang, SMK Dato’ Penggawa Barat, Pontian, Johor. Kehadiran ibu bapa dan penjaga pelajar SMKDPB amat memberangsangkan sehingga memenuhi dewan.  Majlis ini dirasmikan oleh  YB Datuk Ir. Hj. Hasni bin Haji Mohammad (P.G.D.K., K.M.N., P.I.S., A.M.N.) Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Negeri Johor merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Benut.
                Dalam ucapan perasmiannya, beliau mengingatkan para guru dan ibu bapa penjaga pelajar agar memastikan pelajar-pelajar pada hari ini bersedia untuk menghadapi cabaran era pembangunan khususnya di Pontian yang semakin berkembang maju dengan pembangunan demi pembangunan yang rancak berjalan ketika ini.  Dalam ucapannya beliau turut bersetuju dengan permintaan PIBG yang memohon peruntukan menurap jalan di dalam kawasan sekolah dan akan dilakukan dalam masa yang terdekat. Seterusnya beliau turut meluluskan peruntukan sebanyak RM5000 untuk tabung PIBG.
                Majlis Agung PIBG Kali Ke-29 diteruskan dengan  sesi pembentangan minit mesyuarat, laporan kegiatan aktiviti PIBG, penyata kewangan, membahaskan usul dan seterusnya mencalonkan dan memilih barisan ahli jawatankuasa PIBG sesi 2014/2015. Mesyuarat agung ini disudahi dengan cabutan bertuah kepada tetamu yang hadir  dan majlis tamat pada pukul 12.30 tengah hari.