JAMBORI PENGAKAP ANTARABANGSA MELAKA BANDARAYA WARISAN DUNIA KALI KE-9



25 Mei - 30 Mei 2013 – Pasukan Pengakap Laut telah menyertai Jambori Antarabangsa Melaka Bandaraya Warisan Dunia Kali Ke-9 bertempat di Kem Pengakap Bukit Katil, Melaka. Seramai 3036 peserta dari  dalam dan luar negara menyertai jambori kali ini. Peserta-peserta luar negara terdiri dari negara Hong Kong, Singapura dan Indonesia. Kami terdiri daripada 7 orang pelajar dan seorang guru pembimbing. Kami tiba pada pukul 2.30 petang 25 Mei di Kem Pengakap Bukit Katil. Selepas mendaftar di sub kem Johor, maka kami pun mendirikan khemah. Antara tugasan yang diberikan kepada Daerah Pontian ialah AJK Kebersihan dan AJK Bantu Mula. Kami diminta menyediakan surau untuk kegunaan pengakap-pengakap Johor. Alhamdulillah dalam masa setengah jam kami berjaya menyiapkannya. Malam ini kami diberi taklimat untuk persediaan perasmian pada keesokan harinya.
                Hari kedua: Pada pagi ini kami menjalani raptai untuk acara perasmian yang dijadualkan pada pukul 11  pagi. Tepat jam 12.30 tengah hari majlis perasmian Jambori Antarabangsa disempurnakan oleh Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Wira Ir Hj Idris Hj Harun. Seterusnya pada sebelah petangnya kami dibawa melawat ke Menara Taming Sari, Muzium Samudera dan Melaka River Cruise. Pada sebelah malamnya kami menyertai kontinjen yang lain mempersembahkan acara kebudayaan secara bergilir-gilir
                Hari Ketiga: Pada pagi ini kami menyertai aktiviti XPDC (Pengembaraan) sejauh 5 kilometer. Terdapat 2 tugasan yang perlu kami lakukan sepanjang aktiviti ini berlangsung. Selesai sahaja XPDC maka kami pun melakukan tugasan yang lain untuk mendapatkan cap pengesahan. Antara aktivitinya ialah tarian, paint ball, pameran, permainan tradisional, simulator dan sebagainya. Kami amat gembira kerana melepasi sasaran mendapatkan 8 cap. Pada sebelah malamnya kami menyertai malam kebudayaan. . Pada malam ini juga diadakan Malam Indaba yang disertai oleh sesiapa yang berminat.
                Hari Keempat: Pada pagi ini kami menyertai aktiviti berkayak. Satu pengalaman yang menyeronokkan. Selesai aktiviti berkayak maka kami pun berkunjung ke setiap sub kem kontinjen negeri dan antarabangsa. Kami bertukar-tukar cenderamata dan lencana serta berkenal-kenalan dengan setiap peserta. Pada sebelah malamnya aktiviti kebudayaan dijalankan. Pada malam ini juga diadakan Malam Gilwell Reunion bagi pemimpin pengakap yang mendapat manik kayu.
                Hari Kelima: Aktiviti pada pagi ini ialah pertandingan di sub kem Johor. Kami menyertai aktiviti pertolongan cemas dan permainan KIM. Sesuatu yang menyeronokkan kerana mendapat pengalaman baharu. Pada hari ini juga kem pengakap dikejutkan dengan keharian Tuan Yang Dipertua Negeri Melaka,  Tun Datuk Seri Mohd  Khalil Yaakob. Beliau hadir ke tapak perkhemahan kerana cucu beliau juga turut serta melalui Kontinjen Pahang. Selepas itu kami mengadakan persiapan untuk mengadakan Rumah Terbuka Johor pada pukul 4.00 petang. Ramai tetamu VIP yang hadir termasuk Timbalan Pesuruhjaya Pengakap Malaysia. Pasukan kami ditugaskan di pintu masuk untuk menyambut tetamu VIP. Perasaan kami sungguh gembira kerana mendapat peluang mengalu-alukan ketibaan tetamu VIP. Seterusnya malam kemuncak ialah malam penutupan rasmi di mana kontinjen negeri Johor telah mengungguli tempat pertama dalam persembahan kebudayaan, tempat kedua dalam pertandingan inovasi dan tempat ketiga dalam pertandingan rintis. Hebatnya Johor.
Hari Keenam : Hari ini kami mengemas khemah serta peralatan. Seterusnya kami memastikan setiap kawasan di sub kem Johor bersih. Kami bertolak pulang pada pukul  10.30 pagi dan tiba di sekolah pada pukul 2.00 petang.

Semoga bertemu lagi di Johor International Jamboree (JIJ)  pada November ini.
Salam Pengakap!