Kebakaran Rumah Warga Pelajar SMK Dato 'Penggawa Barat

8 Ogos 2012 ; JERAM BATU, PEKAN NANAS – Sebuah rumah milik keluarga Siti Nazilah binti Mazlan pelajar Tingkatan 6 Bawah Mawar di Kampung Jeram Batu, Pekan Nanas musnah dalam satu kebakaran di sini semalam. Dalam kejadian kira-kira pukul 9.00 pagi, itu telah memusnahkan keseluruhan kediaman dan harta benda yang terdapat di dalam rumah tersebut. Bapa Nazilah telah memaklumkan bahawa tiada kemalangan jiwa berlaku. Semasa kejadian, pasangan ibu bapa Nazilah berada di tempat kerja dan dua orang adiknya berada di sekolah. Masing-masing sedang bersekolah di Tahun 6, SK Jeram Batu dan seorang lagi berada di Tingkatan 4, SMK Pekan Nenas.

Nazilah yang tinggal di Asrama, SMK Dato’ Penggawa Barat, telah dibawa melawat rumah keluarganya yang musnah oleh sekumpulan guru yang diketuai oleh Tn. Hj. Hashim bin Mohd. Dom, Pengetua SMK Dato’ Penggawa Barat yang turut menyampaikan sumbangan hasil pungutan derma kilat kepada keluarga berkenaan kira-kira jam 2.30 petang. Bapa Nazilah memberitahu bahawa, isterinya menerima panggilan telefon daripada jirannya, yang memaklumkan bahawa rumah mereka telah terbakar, kemudian menghubungi beliau di tempat kerja. Beliau bergegas pulang, namun tidak dapat menyelamatkan sebarang harta benda dan barang persiapan menjelang aidilfitri ini kerana api marak dengan cepat. “Sampai di rumah, api sedang marak dan memusnahkan seluruh harta benda dan rumah pusaka kediaman kami, kebakaran dipercayai berpunca daripada litar pintas” katanya.