TAN Sri Alimuddin Mohd. Dom dan Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman bersama para pemenang Pertandingan Kuiz Pelaburan PNB 2010 di Putrajaya baru-baru ini.
PESERTA Kuiz bersaing sesama sendiri untuk menyelesaikan permasalahan yang diberi.
Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Penggawa Barat, Johor muncul sebagai johan pada pertandingan akhir Kuiz Pelaburan Permodalan Nasional Berhad (PNB) 2010 bagi kategori sekolah menengah yang berlangsung di Dewan Seri Endon, Putrajaya, baru-baru ini.
Sekolah yang diwakili oleh Mohamad Izwan Zorkarnain, Siti Syairah Samiri dan Suhada Abd. Wahid serta guru pengiringnya, Norizah Abd. Karim itu menjuarai pertandingan dengan menewaskan dua buah sekolah di peringkat akhir.
Sekolah-sekolah tersebut ialah SMK Methodist, Sibu, Sarawak, yang mendapat naib johan dan SMK Seri Bintang Selatan, Kuala Lumpur, mendapat tempat ketiga.
Sementara itu, Mohammad Saifuddin, 16, dari SMK Baru Bintulu, Sarawak dipilih sebagai johan pertandingan Pidato Kelab Pelaburan Bijak PNB (KPBPNB) 2010 yang diadakan serentak dengan kuiz pelaburan tersebut.
Mohammad memenangi pertandingan itu dengan pidatonya yang bertajuk "Membudayakan ilmu merancang kewangan dalam kehidupan seharian".
Naib johan dimenangi oleh Thanusha A/P M. Ganesan, 17, dari SMK Undang Rembau, Negeri Sembilan sementara tempat ketiga pula dimenangi oleh Azaina Lanus, 19, dari SMK Abaka, Sabah.
Tiga pemenang tersebut berjaya mengetepikan cabaran dari tujuh peserta lain yang mewakili sekolah masing-masing di peringkat akhir.
Sekolah-sekolah itu ialah SMK Tun Fuad Stephens, Sabah; SMK Dato' Amhad Maher, Kelantan; SMK Sik, Kedah; SMK Seri Balik Pulau, Pulau Pinang; SMK Labuan, Labuan; SMK Rosli Dhobi, Sarawak dan SMK Dato' Penggawa Barat, Johor.
Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, Kementerian Pelajaran sangat mengalu-alukan penglibatan badan korporat seperti PNB dalam membangunkan wacana pendidikan negara.
"Inisiatif seperti kuiz dan pertandingan ini selari dengan matlamat kementerian dalam melahirkan para pelajar yang memiliki kemantapan intelektual dan menyumbang kepada kecemerlangan akademik serta memiliki kemahiran berkomunikasi yang baik selain keperibadian yang tinggi," katanya.
Ujar beliau, melalui kuiz pelaburan yang disertai pelajar-pelajar tingkatan empat dan lima itu dilihat membantu dalam menguji pengetahuan mereka mengenai dunia pelaburan dan memupuk kemahiran pengurusan kewangan.
"Sementara pertandingan pidato yang terbuka kepada pelajar tingkatan satu hingga tingkatan lima ini pula mampu membina keyakinan diri, komunikasi dan menggalakkan pemikiran kritikal di kalangan mereka.
"Oleh itu, saya merasakan kerjasama kementerian dan badan korporat seperti PNB adalah komponen penting dalam mencapai transformasi dan pembaharuan menyeluruh dalam sistem pendidikan yang akan meningkatkan peningkatan peningkatan kualiti pendidikan negara," jelasnya.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.
Kuiz Pelaburan PNB 2010 kategori Sekolah Menengah ini telah berlangsung sejak Mac lalu serentak di seluruh negara dan secara keseluruhannya membabitkan penyertaan seramai 4,152 pelajar mewakili 1,384 buah sekolah menengah harian.
Johan pertandingan kuiz pelaburan menerima piala pusingan, piala iringan serta unit-unit Amanah Saham Gemilang - Pendidikan (ASG-Pendidikan) bernilai RM8,000.
Naib johan pula membawa pulang unit ASG-Pendidikan bernilai RM5,000 berserta piala iringan manakala tempat ketiga pula membaw pulang piala iringan dan unit-unit ASG-Pendidikan bernilai RM3,000.
Johan pertandingan pidato pula menerima piala pusingan, piala iringan serta unit ASG-Pendidikan bernilai RM3,000.
Naib johan pula membawa pulang unit ASG-Pendidikan bernilai RM2,000 berserta piala iringan manakala tempat ketiga menerima piala iringan dan unit ASG-Pendidikan bernilai RM1,000.
Pemenang saguhati pula menerima piala iringan dan unit ASG-Pendidikan bernilai RM500.
Pertandingan Kuiz Pelaburan PNB merupakan program pendidikan pelaburan bersepadu yang dianjurkan sejak 2001 yang turut disasarkan kepada para penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) dan anggota badan-badan beruniform.
|