PONTIAN, 11 April 2026 – Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kali Ke-41 Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Penggawa Barat telah berlangsung dengan jayanya pada pagi ini di Dewan Jauhari.
Majlis yang dirasmikan oleh Y.B. Datuk Seri Dr. Haji Ahmad bin Maslan, Timbalan Menteri Kerja Raya ini menyaksikan kehadiran seramai 249 orang yang terdiri daripada ibu bapa, penjaga serta warga pendidik sekolah. Kehadiran yang memberangsangkan ini mencerminkan komitmen tinggi komuniti terhadap pembangunan dan kecemerlangan sekolah. Terima kasih kepada YB Datuk Seri Dr. Hj.Ahmad bin Maslan kerana sudi hadir dan memberi sumbangan kepada tabung PIBG.
Turut hadir menyerikan majlis ialah Pengetua SMK Dato’ Penggawa Barat, Puan Rosliza binti Rahmat serta Yang Dipertua PIBG, Encik Kasbon bin Kasron.
Selain agenda mesyuarat, majlis turut diserikan dengan Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang 2025 sebagai tanda penghargaan kepada murid-murid yang telah menunjukkan pencapaian akademik yang membanggakan. Inisiatif ini bukan sahaja memberi pengiktirafan kepada pelajar, malah menjadi pemangkin semangat kepada seluruh warga sekolah untuk terus berusaha mencapai kejayaan.







