SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI 2026

1.4.2026 -SMK Dato’ Penggawa Barat telah menganjurkan Sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat sekolah dalam suasana penuh meriah, harmoni dan semangat kekeluargaan. Program yang berlangsung dari jam 10.30 pagi hingga 1.30 petang ini diadakan secara santai di kelas masing-masing, melibatkan penyertaan aktif semua warga sekolah. Marhaban dari kelas ke kelas turut diadakan bagi menambah kemeriahan sambutannya.

Majlis ini bukan sahaja bertujuan meraikan kemenangan setelah sebulan berpuasa, malah menjadi medium mengeratkan silaturahim antara guru dan pelajar dalam suasana yang ceria dan penuh warna-warni. Para pelajar dan guru tampil anggun serta segak mengenakan busana Hari Raya, menambahkan lagi seri sambutan pada hari tersebut.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Yang Dipertua PIBG, En. Kasbon bin Kasron, bersama barisan Ahli Jawatankuasa PIBG yang sentiasa memberikan sokongan padu kepada setiap program sekolah. Kehadiran mereka jelas mencerminkan hubungan erat antara pihak sekolah dan komuniti.
Pelbagai juadah tradisional seperti kuih-muih, lemang, ketupat dan aneka hidangan lain disediakan, mencipta suasana seperti beraya di kampung. Gelak tawa, senyuman dan kemesraan yang terjalin sepanjang majlis berlangsung membuktikan bahawa nilai kebersamaan dan muhibah terus subur dalam kalangan warga sekolah.
Diharapkan program seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai platform memupuk perpaduan, kasih sayang dan semangat kekitaan dalam kalangan seluruh warga SMK Dato’ Penggawa Barat.