MAJLIS PERPISAHAN USTAZ HARIS BIN MUSTAFA


17 November 2019 - Satu majlis bagi meraikan perpindahan Ustaz Haris bin Mustafa ke negeri Kelantan telah diadakan di Dewan Seri Gemilang.  Beliau merupakan Ketua Warden Asrama SMKDPB. Mula bertugas di SMKDPB mulai tahun 1998 dan menduduki kuarters guru di kawasan asrama sekolah. Seorang yang tegas dalam mendidik anak-anak asrama khususnya untuk berjaya di dunia dan akhirat. Beliau mengorbankan selama 21 tahun kehidupannya di SMKDPB dalam usaha mencemerlangkan anak-anak SMKDPB. Semoga Ustaz Haris bin Mustafa akan terus cemerlang di tempat baharu. 


Berikut merupakan nukilan khas dari rakan guru untuk Ustaz Haris Mustafa,

21 TAHUN YANG PANJANG

21 tahun yang panjang
21 tahun siang dan malam
21 tahun pagi dan petang
21 tahun sakit dan pening
21 tahun tenang dan tegang
21 tahun susah dan payah
21 tahun hulu dan hilir
21 tahun kenyang dan lapar
21 tahun hujan dan panas
21 tahun dunia dan akhirat
21 tahun hujung dan pangkal
21 tahun depan dan belakang
21 tahun kiri dan kanan
21 tahun suka dan duka
Membentuk sahsiah
Melahirkan imam dan bilal
Melahirkan pemimpin-pemimpin muda
Melestarikan kecemerlangan
Memartabatkan citra Sekolah Kluster Kecemerlangan
Memasyhurkan piagam Sekolah Berprestasi Tinggi
Memenuhi impian ibu bapa pewaris
Besar jasa insan ini
Hebat pengorbanan guru ini
Tinggi thiqah ustaz ini
Melangit pengorbanan pendita ini
Terbilang izzah sahabat ini
Takkanlah engkau nak berteleku sahaja?
Takkanlah engkau nak melihat sahaja?
Takkanlah engkau nak termenung sahaja?
Dulu kau sakit, dia yang rawatkan
Tandas kau rosak, dia yang uruskan
Perut kau lapar, dia yang isikan
Barang kau hilang, dia yang carikan
Hati kau susah, dia tenangkan
Sekarang dia nak pergi
Pulang ke kampung halaman
Membalas jasa keluarga di sana
Setelah separuh hidupnya menjaga kampung orang lain
Setahun hanya sempat beberapa kali menjenguk kampung sendiri
Seharian menguruskan anak2 orang
Diketuk pintu rumah siang dan malam
Semuanya beliau tempuh tak bilang orang
Nah!
Apakah tidak boleh SATU hari kau beri masa untuk dia?
Apakah tidak boleh SATU jam kau lambaikan perpisahan?
Apakah tidak boleh?
Esok adalah masa untuk memberi dan membalas.
Memeluk dan menyokong.
Selagi ada peluang.
Mengucapkan "Terima Kasih, Ustaz."
Entah bila mampu bertemu lagi.
Ayuh!