PERKHEMAHAN BUDAYA NASIONAL (KBN) SIAK, INDONESIA.


2 – 8 Jun 2015. Lima orang ahli Pengakap Laut Kumpulan 14 dan 2 orang pemimpin telah terpilih mewakili Kontinjen Malaysia ke Khemah Budaya Nasional (KBN) 2015 bertempat di Kem Tengku Buwang Asmara, Desa Merempura Hilir, Kacamatan Mempura, Kabupaten Siak, Provinsi Riau, Indonesia. Ahli Pengakap Laut SMKDPB menyertai Kontinjen Malaysia seramai 113 peserta yang diketuai Tn Hj Yaacob bin A.Karim.

  Berikut merupakan catatan perjalanan:

 


Perjalanan dimulakan dengan menaiki feri dari Jeti Muar menuju ke pelabuhan Bengkalis selama 2 jam 30 minit. Ketibaan di Bengkalis disambut dengan meriah oleh ahli Pramuka Bengkalis, seterusnya kami dibawa menaiki 5 buah bas dengan diiringi pasukan keselamatan serta ambulans. Pengalaman seterusnya menaiki feri ke Pelabuhan Pak Ning selama 40 minit dan menyambung perjalanan ke tempat perkhemahan selama 2 jam perjalanan. Ketibaan kami di bumi Siak ketika mentari mula melabuhkan tirainya. Paluan kompang dan perarakan menanti ketibaan kami. Kami diberi tapak perkhemahan dan terus mendirikan khemah untuk bermalam.

Perasmian pembukaan Khemah Budaya Nasional telah diadakan di hadapan Istana Siak dengan disertai oleh ribuan peserta dari setiap propinsi di Indonesia. Perasmian disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Indonesia. Pelbagai budaya dari setiap propinsi dipersembahkan. Di sini juga kami dari Kontinjen Malaysia diberi liputan meluas oleh pihak media dan paparan khas Kontinjen Malaysia disiarkan dalam surat khabar Riau Pos.
 

Istana Siak merupakan tinggalan sejarah yang menempatkan pelbagai khazanah melayu khususnya dan adat istiadat melayu. Kami dibawa melawat ke Istana Siak, Makam Syarif kasim, Lembaga Adat Melayu Riau, Balai Perbicaraan dan sebagainya. Sesungguhnya bumi Siak mempunyai 1001 kisah sejarah yang mempunyai hubung kait dengan negeri Johor.
MEMEGANG BENDERA SMKDPB DI HADAPAN ISTANA SIAK

Kami juga menyertai perarakan Karnaval Budaya yang diadakan di hadapan bangunan Lembaga Aadat Melayu Riau. Dalam pertandingan ini, Kontinjen Malaysia telah menjadi Juara menewaskan 33 buah propinsi di Indonesia. Manakala dalam Pertandingan Kemahiran Pengakap, peserta SMKDPB telah membawa pulang 3 pingat emas melalui Nur Syafina Atisha, Nur Syaidatul Adlin dan Nuramira Musa sementara 2 pingat perak disumbangkan oleh Adhawasya dan Hudzaifah.
Pada malam penutupan rasmi, Pemerintah Kabupaten Siak telah menobatkan kami semua ( guru dan pelajar ) sebagai Perajurit Siak. Penghargaan ini membolehkan kami dipakaikan tanjak ( lelaki) dan selempang ( perempuan).
 

Kami bertolak pulang dari bumi Siak pada 8 jun 2015 dan bermalam di Tapak Perkhemahan Pramuka Bengkalis pada malamnya. Kami menaiki feri dari Bengkalis pada 9 Jun 2015 pada pukul 3.30 petang dan sampai di Jeti Muar pada pukul 6.00 petang dan selamat tiba di sekolah pada pukul 10.00 malam.
Sesungguhnya pengalaman berkelana dan berkhemah di Bumi Siak merupakan satu pengalaman yang amat berharga dan akan menjadi memorabilia indah sepanjang perjalanan hidup kami. Kami berbangga kerana memilih Pengakap Laut sebagai unit beruniform yang wajib disertai di sekolah dan ternyata dengan menyertai Pengakap Laut memberikan kami seribu satu pengalaman yang berharga. Terima kasih semua!.


DI DALAM ISTANA SIAK