Selamat Hari Guru Ke-40 Untuk Warga SMK Dato' Penggawa Barat

 
PUTRAJAYA – Sarawak akan menjadi tuan rumah sambutan Hari Guru 2011 peringkat kebangsaan pada 16 Mei ini yang bertemakan “Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara”.

Tema Hari Guru 2011 itu dilancarkan secara rasmi oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran pada perhimpunan Kementerian Pelajaran di sini Selasa.
Terdahulu dalam ucapannya, Muhyiddin dalam sistem pendidikan negara, warga kementerian terutama guru memikul cabaran besar yang harus digalas sepanjang masa.
“Sebagai contoh, warga guru perlu membangkitkan kesedaran, ketaatsetiaan kepada negara, memahami konsep Rukun Negara dan kesetiaan kepada kepimpinan,” katanya.
Mereka juga perlu melahirkan modal insan yang beriman, berakhlak mulia, berinterigiti, berilmu, berketrampilan dan sejahtera, kata Muhyiddin.
“Cabaran ini perlu dihadapi dengan berani. Kalau tidak, pasti kita akan berhadapan dengan masalah yang lain,” katanya.
Namun, menurut beliau, cabaran paling besar bagi warga guru dan kementerian adalah dalam usaha menyediakan sumber tenaga manusia untuk keperluan negara dalam misi mencapai negara maju menjelang 2020.
“Kita telah melakarkan sejumlah 3.3 juta tenaga kerja baru yang kita boleh jana dalam tempoh 10 tahun akan datang,” kata Muhyiddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet bagi Pembangunan Modal Insan.
“Ia harus lahir dari sistem pendidikan kita dan siapakah manusia yang hendak kita lahirkan. Kita harus dapat melahirkan sumber manusia bukan sahaja memenuhi keperluan untuk menambah ilmu pengetahuan tetapi mengisi keperluan pembangunan negara secara keseluruhan.”
Malah, katanya, setiap 12 bidang Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) memerlukan tenaga manusia yang terlatih.
“Kita tahu dalam sistem pekerjaan ketika ini 80 peratus diisi oleh anak-anak yang lulus Sijil Pelajaran Malaysia sahaja. Pastinya itu menjadi kekangan besar jika kita mahu tingkatkan kapasiti kemahiran mereka yang terbatas dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran,” katanya.
Kekangan ini jika tidak dileraikan, tidak memungkinkan Malaysia mencapai usaha untuk menjadi negara maju dalam tempoh yang singkat, kata Muhyididin. – BERNAMA