MESYUARAT AGUNG PIBG KALI KE-41 SMK DATO’ PENGGAWA BARAT BERLANGSUNG MERIAH

PONTIAN, 11 April 2026 – Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kali Ke-41 Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Penggawa Barat telah berlangsung dengan jayanya pada pagi ini di Dewan Jauhari.

Majlis yang dirasmikan oleh Y.B. Datuk Seri Dr. Haji Ahmad bin Maslan, Timbalan Menteri Kerja Raya ini menyaksikan kehadiran seramai 249 orang yang terdiri daripada ibu bapa, penjaga serta warga pendidik sekolah. Kehadiran yang memberangsangkan ini mencerminkan komitmen tinggi komuniti terhadap pembangunan dan kecemerlangan sekolah. Terima kasih kepada YB Datuk Seri Dr. Hj.Ahmad bin Maslan kerana sudi hadir dan memberi sumbangan kepada tabung PIBG.
Turut hadir menyerikan majlis ialah Pengetua SMK Dato’ Penggawa Barat, Puan Rosliza binti Rahmat serta Yang Dipertua PIBG, Encik Kasbon bin Kasron.
Selain agenda mesyuarat, majlis turut diserikan dengan Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang 2025 sebagai tanda penghargaan kepada murid-murid yang telah menunjukkan pencapaian akademik yang membanggakan. Inisiatif ini bukan sahaja memberi pengiktirafan kepada pelajar, malah menjadi pemangkin semangat kepada seluruh warga sekolah untuk terus berusaha mencapai kejayaan.
Secara keseluruhannya, mesyuarat ini berjaya memperkukuh hubungan antara pihak sekolah dan ibu bapa dalam usaha melahirkan generasi pelajar yang cemerlang dari segi akademik, sahsiah dan kokurikulum.

 

 

 

 

 

 

 

 

KEJOHANAN BADMINTON MSSD PONTIAN 2026

8-9.4.2026 -Tahniah diucapkan kepada wakil SMK Dato’ Penggawa Barat, Lee Chu Yang, atas kejayaan cemerlang apabila berjaya merangkul Johan Kategori L15 dalam Kejohanan Badminton MSSD Pontian 2026.

Kejohanan ini telah berlangsung selama dua hari, iaitu pada 8 dan 9 April 2026, bertempat di Dewan Badminton Taman Nilam. Sepanjang pertandingan, beliau telah mempamerkan aksi permainan yang konsisten, berdisiplin serta bersemangat tinggi sehingga berjaya menewaskan para pencabar lain.
Kejayaan ini sekali gus mengharumkan nama SMK Dato’ Penggawa Barat di peringkat daerah.
Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin untuk terus cemerlang di peringkat negeri selepas ini. Sama-sama kita doakan kejayaan yang lebih gemilang buat beliau.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada pihak pentadbir, barisan guru serta seluruh warga sekolah atas sokongan yang tidak berbelah bahagi.
SDPB Menjuarai!


SMK DATO' PENGGAWA BARAT JOHAN KESELURUHAN CATUR MSSD 2026

 9 April 2026 – Pertandingan Catur Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Pontian 2026 telah berlangsung dengan jayanya bermula 6 April (Isnin) hingga 9 April 2025 (Khamis) bertempat di Dewan Serbaguna, Permas Kukup.

Seramai 18 orang peserta dari SMK Dato' Penggawa Barat telah mengambil bahagian dalam pertandingan ini, mewakili sekolah dalam pelbagai kategori umur.
Pasukan SMK Dato’ Penggawa Barat telah mencatat kejayaan membanggakan apabila dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan bagi Kategori Sekolah Menengah dalam edisi pertandingan tahun ini.
Berikut merupakan keputusan penuh bagi setiap kategori yang disertai:
Johan P15: Angel Teh
Naib johan P15 : Nur Alyssa binti Muhammad Suhaib
Tempat ke-6 P15: Nashwa Raqilla Alma binti Mohd Radzie
Tempat ke-10 L15: Muhammad Wafiq Hariri bin Mohamad Nazarudin
Tempat ke-13 L15: Muhammad Ali Hazim bin Mohd Yusrizal
Tempat ke-15 L15 : Adam Teh
Tempat ke-3 L18: Nik Muhammad Farish bin Zamri
Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua peserta atas usaha dan pencapaian cemerlang. Tidak dilupakan juga penghargaan kepada guru-guru pembimbing iaitu Cikgu Afzan, Cikgu Khairieyah, Cikgu Azizah, Cikgu Norani Basri dan Cikgu Siti Juriah atas dedikasi dan sokongan mereka sepanjang pertandingan ini.



KEJOHANAN TENIS MSSD PONTIAN 2026

Pada 6 hingga 9 April telah berlangsungnya Kejohanan Tenis MSSD Pontian 2026 bertempat di Gelanggang Tenis Majlis Daerah Pontian.

Pasukan Tenis SMKDPB telah menghantar 13 atlit bagi menyertai kejohanan tersebut. Dengan semangat juang dan taktikal yang ampuh, SMKDPB telah berjaya sekali lagi meraih gelaran Johan Keseluruhan MSSD Pontian pada edisi ini.
Beberapa pemain utama telah berjaya menjadi johan dalam kategori masing-masing, begitu juga dengan pemain-pemain lain yang tidak kurang hebatnya dengan turut meraih pingat dalam beberapa kategori dan menyumbang mata kepada sekolah.
Semoga kecemerlangan ini dapat diteruskan pada peringkat MSSJ nanti. Amin.


KEJAYAAN CEMERLANG ATLET AKUATIK SDPB

8.4.2026 - SMK Dato’ Penggawa Barat sekali lagi mencatatkan kejayaan membanggakan dalam Kejohanan Akuatik MSSD Batu Pahat & Pontian yang telah berlangsung pada 8 April 2026.

Dua orang atlet sekolah telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam pertandingan tersebut. Mohamad Amir Firdaus bin Fauzi telah berjaya merangkul empat pingat emas dengan menjuarai acara 50 meter gaya bebas, 50 meter kuak dada, 50 meter kuak lentang dan 50 meter kuak kupu-kupu bagi kategori lelaki bawah 15 tahun.
Turut mengharumkan nama sekolah ialah Felicia Tang Xin Le yang berjaya meraih tiga pingat emas menerusi acara 50 meter gaya bebas, 50 meter kuak dada dan 50 meter kuak lentang, serta satu pingat perak bagi acara 50 meter kuak kupu-kupu bagi kategori perempuan bawah 15 tahun.
Pihak sekolah merakamkan setinggi-tinggi tahniah atas pencapaian yang membanggakan ini dan berharap kejayaan ini menjadi inspirasi kepada seluruh warga sekolah untuk terus mencipta kecemerlangan.


MAJLIS PERPISAHAN

SMK Dato’ Penggawa Barat telah menganjurkan dua majlis penuh penghargaan bagi meraikan warga sekolah yang telah banyak berjasa.
Pada 1 April 2026, majlis penghargaan diadakan buat pembantu makmal iaitu Puan Noor Khalilla binti Basiran yang akan bertugas di Kolej Tingkatan 6, manakala Puan Roziah binti Abdullah dan Puan Junita binti Baharom akan bertugas di SDAHA.
Sementara itu, pada 3 April 2026, Majlis Perpisahan telah berlangsung bagi meraikan Cikgu Nik Fazlin binti Nik Kar yang akan bertugas di SMK Ayer Baloi, Ustaz Mohd Nasruddin Ihsan ke SMK Yunus Sulaiman dan Cikgu Muhammad Farhan Azwan ke SMK Bandar T6, Kluang.
Kedua-dua majlis berlangsung dalam suasana penuh penghargaan dengan pengisian seperti ucapan dan penyampaian cenderamata. Pihak sekolah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan serta mendoakan agar semua yang diraikan terus cemerlang pada masa hadapan.



PERTANDINGAN ANUGERAH NILAM PENDIDIKAN KHAS NEGERI JOHOR 2026

2.4.2026 - Dua orang murid PPKI SMK Dato’ Penggawa Barat telah terpilih mewakili daerah Pontian dalam Pertandingan Anugerah Nilam Pendidikan Khas Negeri Johor 2026 bertempat di Mersing pada 1 & 2 April 2026.

Hasil latihan intensif dan berfokus, Khairina Atiqah Binti Kamirul Fisal telah berjaya meraih tempat ke-3 manakala Aiman Daniel Bin Abdul pula meraih tempat ke-5. Masing-masing bertanding dalam kategori Pendengaran Menengah Lelaki & Perempuan.
Sekalung tahniah juga kepada Cikgu Halina selaku penyelaras Nilam PPKI dengan dibantu guru-guru PPKI yang lain. Semoga kejayaan ini menyemarak lagi budaya membaca dan cintakan ilmu dikalangan semua murid SMKDPB, khasnya murid-murid PPKI.

 


 


 


 


SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI 2026

1.4.2026 -SMK Dato’ Penggawa Barat telah menganjurkan Sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat sekolah dalam suasana penuh meriah, harmoni dan semangat kekeluargaan. Program yang berlangsung dari jam 10.30 pagi hingga 1.30 petang ini diadakan secara santai di kelas masing-masing, melibatkan penyertaan aktif semua warga sekolah. Marhaban dari kelas ke kelas turut diadakan bagi menambah kemeriahan sambutannya.

Majlis ini bukan sahaja bertujuan meraikan kemenangan setelah sebulan berpuasa, malah menjadi medium mengeratkan silaturahim antara guru dan pelajar dalam suasana yang ceria dan penuh warna-warni. Para pelajar dan guru tampil anggun serta segak mengenakan busana Hari Raya, menambahkan lagi seri sambutan pada hari tersebut.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Yang Dipertua PIBG, En. Kasbon bin Kasron, bersama barisan Ahli Jawatankuasa PIBG yang sentiasa memberikan sokongan padu kepada setiap program sekolah. Kehadiran mereka jelas mencerminkan hubungan erat antara pihak sekolah dan komuniti.
Pelbagai juadah tradisional seperti kuih-muih, lemang, ketupat dan aneka hidangan lain disediakan, mencipta suasana seperti beraya di kampung. Gelak tawa, senyuman dan kemesraan yang terjalin sepanjang majlis berlangsung membuktikan bahawa nilai kebersamaan dan muhibah terus subur dalam kalangan warga sekolah.
Diharapkan program seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai platform memupuk perpaduan, kasih sayang dan semangat kekitaan dalam kalangan seluruh warga SMK Dato’ Penggawa Barat.

 


 


 


 


SANJUNGAN BUDI, LAMBAIAN KASIH - PN ZABILIN BINTI HARJIN

1.4.2026 - Majlis Persaraan Cg Zabilin Binti Harjin

Dengan penuh rasa hiba, warga SMK Dato’ Penggawa Barat menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seorang insan yang tidak ternilai jasanya, Cikgu Zabilin Binti Harjin, yang telah menabur bakti selama 31 tahun dengan penuh dedikasi di SMKDPB sejak mula melapor diri pada tahun 1995.
Tiga dekad bukanlah satu tempoh yang singkat. Sepanjang perjalanan itu, beliau telah menjadi saksi jatuh bangun dunia pendidikan, namun tetap teguh berdiri sebagai pendidik yang berjiwa besar. Dengan kesabaran yang tidak bertepi, beliau mendidik tanpa jemu, membimbing tanpa lelah, dan menyemai harapan dalam jiwa setiap anak didiknya.
Setiap langkahnya di sekolah ini meninggalkan jejak yang bermakna—bukan sekadar dalam pencapaian akademik, tetapi juga dalam pembentukan sahsiah, nilai, dan jati diri murid. Senyuman, teguran, nasihat dan kasih sayang beliau akan terus terpahat dalam ingatan, menjadi kenangan yang sukar dilupakan.
Pemergian beliau sebagai seorang pendidik sepenuh masa pastinya meninggalkan kekosongan yang amat dirasai. Namun, legasi ilmu dan budi yang ditinggalkan akan terus hidup, mekar dalam setiap kejayaan anak didik yang pernah disentuh oleh keikhlasannya.
Terima kasih, cikgu… atas setiap pengorbanan yang tidak pernah diminta balasan.
Terima kasih atas setiap titik peluh yang dicurahkan demi anak bangsa.
Semoga segala jasa dan bakti yang dicurahkan menjadi amal jariah yang berpanjangan, dan semoga hari-hari mendatang dipenuhi dengan ketenangan, kebahagiaan dan rahmat daripada-Nya.
Selamat Bersara, Cg Zabilin Binti Harjin.
Jasamu dikenang, budimu disanjung, selamanya dalam ingatan.

 


 


 


 



TAHNIAH TUAN ZULKURNAIN BIN ABDUL RAHMAN

 1.4.2026 Tahniah


KEPUTUSAN SPM 2025

 31.3.2026 - Tahniah


KEPUTUSAN SPM 2025

 29.3.2026 - Makluman Pelajar SPM 2025.


 


 

HARI PERTAMA PEPERIKSAAN SPM 2024 DI SMK DATO' PENGGAWA BARAT BERJALAN LANCAR

Pontian, 2 Januari 2025 – Seramai 190 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari SMK Dato' Penggawa Barat memulakan hari pertama peperiksaan mereka dengan penuh tekad dan semangat. Perjalanan peperiksaan hari ini turut disaksikan oleh kehadiran istimewa Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor, Sektor Pembelajaran, En. Zulkurnain bin Abdul Rahman, dan Pegawai Pendidikan Daerah Pontian, Tn. Haji Abdul Rahman bin Salleh, yang hadir untuk meninjau kelancaran proses peperiksaan.

Turut bersama-sama pada pagi ini ialah Puan Rosliza Rahmat, Pengetua SMK Dato' Penggawa Barat, barisan guru, serta ibu bapa yang hadir memberikan sokongan moral kepada para pelajar. Kehadiran mereka menyuntik semangat kepada calon-calon untuk memberikan yang terbaik dalam peperiksaan yang akan berlangsung selama beberapa minggu ini.

Menurut Puan Rosliza, pihak sekolah telah membuat persiapan rapi bagi memastikan perjalanan peperiksaan berjalan lancar, termasuklah pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. "Kami percaya persediaan mental dan fizikal yang dilakukan oleh pelajar sepanjang tahun ini akan membuahkan hasil yang baik," tambahnya.

Semoga kejayaan mengiringi semua calon SPM SMK Dato' Penggawa Barat pada tahun ini.





Pertandingan Debat Bahasa Cina Menengah Rendah 'Ting Feng' Peringkat Negeri Johor

Pertandingan Debat Bahasa Cina Menengah Rendah 'Ting Feng' Peringkat Negeri Johor Tahun 2024 telah diadakan di SMK Bandar Putra 1, Kulai, Johor. Pasukan SMKDPB diwakili oleh Lan Yi Heng, Wynn Koh, Kingsley Ho Chen Xi, Bay Ethan, Elise Tang Xin Tian dan Angel Teh. Pasukan ini dibimbing dan diiringi oleh bekas pelajar SMKDPB iaitu Cik Pua Chia Min dan Pn.Ooi Lee Hoon. Pertandingan ini disertai oleh 21 sekolah menengah dari Batu Pahat, Johor Bahru, Pontian dan Kulai. 

Pasukan SMKDPB bejaya meraih Johan dalam pertandingan ini. Saudara Lan Yi Heng juga dinobat sebagai Pembahas Terbaik Keseluruhan. 

————————— 

Pusingan Awal 1 

SMK Bandar Putra 1 vs SMK DATO PENGGAWA BARAT 1:4 

Pusingan Awal 2 

SMK DATO PENGGAWA BARAT vs SMK Sultan Ibrahim 5:0 

Pembahas Terbaik: Wynn Koh 

Pusingan Separuh Akhir 1 

Foon Yew High School vs SMK DATO PENGGAWA BARAT 1:2 

Pembahas Terbaik: Lan Yi Heng & Bay Ethan 

Pusingan Separuh Akhir 2 

SMK DATO PENGGAWA BARAT vs SMK Mutiara Rini (B) 3:0 

Pembahas Terbaik: Bay Ethan 

Pusingan Akhir 

SMK DATO PENGGAWA BARAT vs SMK Mutiara Rini (A) 5:0 

Pembahas Terbaik: Lan Yi Heng

Johan mendapat piala, sijil dan wang tunai sebanyak RM300 manakala pembahas terbaik menerima wang tunai RM200.

Tahniah dan syabas.


Jambori Malaysia ke-14 dan 8th IUMS Peace Jamboree

 6 Ahli Pengakap SMK Dato' Penggawa Barat Sertai Jambori Malaysia ke-14 & 8th IUMS Peace Jamboree

Tasik Milenium, Kuala Kubu Baharu – Seramai enam orang ahli pengakap dari SMK Dato' Penggawa Barat telah mengharumkan nama sekolah apabila mereka menyertai Jambori Malaysia ke-14 dan 8th IUMS Peace Jamboree yang berlangsung pada 21 hingga 27 Disember 2024. Pelajar-pelajar tersebut diiringi oleh Cikgu Siti Aznum, guru pengiring yang sentiasa memberi sokongan sepanjang program.

Program bertaraf antarabangsa ini telah menghimpunkan ribuan peserta dari pelbagai negara dengan matlamat memperkukuh jalinan silaturahim dan mempromosikan keamanan sejagat melalui aktiviti pengakap. Sepanjang tujuh hari program, peserta telah terlibat dalam pelbagai aktiviti seperti perkhemahan, bengkel kepimpinan, eksplorasi alam, dan persembahan kebudayaan.

Cikgu Siti Aznum menyifatkan penyertaan ini sebagai peluang luar biasa untuk pelajar-pelajar mengasah bakat kepimpinan, memupuk semangat kerjasama, dan mendalami nilai-nilai perpaduan. “Mereka bukan sahaja mempelajari kemahiran baharu, tetapi juga membawa pengalaman berharga yang akan membentuk keperibadian mereka,” katanya.

Pelajar-pelajar turut berkongsi pengalaman mereka yang menggembirakan. “Kami sangat bertuah dapat bertemu rakan-rakan dari seluruh Malaysia dan dunia. Ia membuka mata kami tentang pentingnya keamanan dan perpaduan,” ujar salah seorang peserta.

Pihak sekolah mengucapkan tahniah kepada para peserta dan berharap pengalaman ini dapat menjadi inspirasi kepada murid-murid lain untuk melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum bertaraf antarabangsa.




KEM IMTIYAZ SMKDPB

Pada 19 hingga 21 Disember 2024, Kem Imtiyaz SMKDPB yang melibatkan 149 orang pelajar telah berlangsung dengan jayanya. Kem anjuran Unit Kurikulum SMKDPB dengan kerjasama Kolej Yayasan Pelajaran Johor ini berkonsepkan kerohanian yang menekankan solat berjamaah sebagai kekuatan utama, bacaan Al Mathurat pagi dan petang serta qiamullail. Selain itu, program motivasi, rekreasi dan ilmiah juga diselitkan. Kem ini berlangsung di dua lokasi iaitu di SMK Dato' Penggawa Barat dan pada hari terakhir di Kolej Yayasan Pelajaran Johor. Majlis penutupan telah berlangsung di Kolej Yayasan Pelajaran Johor dengan dihadiri oleh En Kamizan bin Safar, Pendaftar Kolej Yayasan Pelajaran Johor, Pn Siti Nor binti Mohamed Yusop , Kaunselor Pendidikan Daerah Pontian merangkap mediator SMKDPB dan Pn Rosliza binti Rahmat, Pengetua SMKDPB. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada Pihak KYPJ atas jaringan pendidikan ini serta perkhidmatan sebuah bas yang mengambil dan menghantar pulang peserta-peserta Kem Imtiyaz pada 21 Disember 2024. Sekalung penghargaan dan terima kasih juga buat PIBG SMKDPB, Koperasi SMKDPB Bhd & para ibu bapa yang dermawan yang sama-sama memberi sumbangan dalam menjayakan Kem Imtiyaz ini. Pastinya tidak dilupakan, penghargaan dan terima kasih kepada barisan pentadbir SMKDPB, guru-guru, unit bimbingan dan kaunseling, pengurusan asrama, pengurusan kawalan keselamatan, anggota-anggota kumpulan pelaksana yang bersinergi menggembleng tenaga bagi menjayakan kem ini. Semoga kem ini bukan sahaja memberikan momen bermakna tetapi juga memberikan impak yang besar kepada semua peserta seterusnya menjana kecemerlangan dalam SPM 2024.


BERPINDAH ALAMAT

 SECARA RASMINYA LAMAN BLOG INI TIDAK DIAKTIFKAN LAGI. KAMI BERPINDAH KE GOOGLE SITES SEPERTI LINK DI BAWAH. SILA IKUTI SEGALA MAKLUMAT DAN LAPORAN SMK DATO' PENGGAWA BARAT



SDPB Menjuarai (google.com)




KEPUTUSAN SPM 2022


 

PERHATIAN KEPADA SEMUA CALON SPM 2022

 PERHATIAN KEPADA SEMUA CALON SPM 2022

                Keputusan Peperiksaan SPM 2022 akan diumumkan pada 8 JUN 2023 (KHAMIS) dan slip keputusan SPM boleh diambil selepas  pukul 11.00 pagi bertempat di Dewan Seri Gemilang, SMK Dato' Penggawa Barat. 


Berikut adalah Peraturan Am kekemasan diri para calon semasa mengambil slip keputusan berkenaan:


1.     Pakaian Perempuan:

1.1   Pakaian  yang sopan.

1.2   Digalakkan berbaju kurung.


2.     Pakaian Lelaki:

2.1   Pakaian yang kemas.

2.2   Digalakkan berbaju kemeja dan seluar ‘slack’


3.     Larangan (Tidak dibenarkan):

3.1       Memakai selipar.

3.2       Memakai seluar jeans.

3.3       Memakai baju/ t-shirt yang mempunyai lambang parti politik.

3.4       Memakai lain-lain pakaian yang mencolok mata.


4.     Rambut lelaki dan perempuan bukan muslim.

4.1      Kemas

4.2      Pendek (lelaki)

4.3      Tidak diwarnakan.


5.   Peringatan tambahan.

5.1              Para pelajar yang masih belum mengambil fail peribadi diminta berjumpa kaunselor di kaunter kaunseling untuk mendapatkannya.

5.2              Para pelajar yang masih belum memulangkan buku yang dipinjam di perpustakaan diminta berbuat demikian di kaunter perpustakaan.  


“Terima kasih atas kerjasama dan keprihatinan anda

AMALAN TERBAIK KOKURIKULUM SMKDPB

15 November 2022- Pada hari ini, Cikgu Anuar bin Salleh, Guru Ikon Kokurikulum dan Sukan Negeri Johor dijemput menyampaikan Perkongsian Amalan Terbaik Kokurikulum kepada Guru Pewaris Negara Daerah Pontian. Cikgu Anuar telah berkongsi pengalaman berkaitan amalan terbaiknya iaitu TOP (Transformasi Ordinary Person) dalam  menjayakan pelbagai aktiviti kokurikulum antaranya aktiviti badan beruniform pengakap, aktiviti pidato, aktiviti inovasi dan juga penganjuran program peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Beliau berkata kejayaanya banyak dibantu oleh 'team' yang akrab sehingga melancarkan sesuatu program yang dirancang dan dilaksanakan. Malah menurutnya persekitaran yang positif juga membantu kejayaan sesebuah program. Perkongsian ini dihadiri oleh lebih 100 orang guru-guru muda dari daerah Pontian. Semoga perkongsian ini dapat memberi inspirasi dan manfaat kepada rakan-rakan guru muda daerah Pontian.