MESYUARAT AGUNG PIBG KALI KE-41 SMK DATO’ PENGGAWA BARAT BERLANGSUNG MERIAH

PONTIAN, 11 April 2026 – Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kali Ke-41 Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Penggawa Barat telah berlangsung dengan jayanya pada pagi ini di Dewan Jauhari.

Majlis yang dirasmikan oleh Y.B. Datuk Seri Dr. Haji Ahmad bin Maslan, Timbalan Menteri Kerja Raya ini menyaksikan kehadiran seramai 249 orang yang terdiri daripada ibu bapa, penjaga serta warga pendidik sekolah. Kehadiran yang memberangsangkan ini mencerminkan komitmen tinggi komuniti terhadap pembangunan dan kecemerlangan sekolah. Terima kasih kepada YB Datuk Seri Dr. Hj.Ahmad bin Maslan kerana sudi hadir dan memberi sumbangan kepada tabung PIBG.
Turut hadir menyerikan majlis ialah Pengetua SMK Dato’ Penggawa Barat, Puan Rosliza binti Rahmat serta Yang Dipertua PIBG, Encik Kasbon bin Kasron.
Selain agenda mesyuarat, majlis turut diserikan dengan Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang 2025 sebagai tanda penghargaan kepada murid-murid yang telah menunjukkan pencapaian akademik yang membanggakan. Inisiatif ini bukan sahaja memberi pengiktirafan kepada pelajar, malah menjadi pemangkin semangat kepada seluruh warga sekolah untuk terus berusaha mencapai kejayaan.
Secara keseluruhannya, mesyuarat ini berjaya memperkukuh hubungan antara pihak sekolah dan ibu bapa dalam usaha melahirkan generasi pelajar yang cemerlang dari segi akademik, sahsiah dan kokurikulum.

 

 

 

 

 

 

 

 

KEJOHANAN BADMINTON MSSD PONTIAN 2026

8-9.4.2026 -Tahniah diucapkan kepada wakil SMK Dato’ Penggawa Barat, Lee Chu Yang, atas kejayaan cemerlang apabila berjaya merangkul Johan Kategori L15 dalam Kejohanan Badminton MSSD Pontian 2026.

Kejohanan ini telah berlangsung selama dua hari, iaitu pada 8 dan 9 April 2026, bertempat di Dewan Badminton Taman Nilam. Sepanjang pertandingan, beliau telah mempamerkan aksi permainan yang konsisten, berdisiplin serta bersemangat tinggi sehingga berjaya menewaskan para pencabar lain.
Kejayaan ini sekali gus mengharumkan nama SMK Dato’ Penggawa Barat di peringkat daerah.
Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin untuk terus cemerlang di peringkat negeri selepas ini. Sama-sama kita doakan kejayaan yang lebih gemilang buat beliau.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada pihak pentadbir, barisan guru serta seluruh warga sekolah atas sokongan yang tidak berbelah bahagi.
SDPB Menjuarai!


SMK DATO' PENGGAWA BARAT JOHAN KESELURUHAN CATUR MSSD 2026

 9 April 2026 – Pertandingan Catur Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Pontian 2026 telah berlangsung dengan jayanya bermula 6 April (Isnin) hingga 9 April 2025 (Khamis) bertempat di Dewan Serbaguna, Permas Kukup.

Seramai 18 orang peserta dari SMK Dato' Penggawa Barat telah mengambil bahagian dalam pertandingan ini, mewakili sekolah dalam pelbagai kategori umur.
Pasukan SMK Dato’ Penggawa Barat telah mencatat kejayaan membanggakan apabila dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan bagi Kategori Sekolah Menengah dalam edisi pertandingan tahun ini.
Berikut merupakan keputusan penuh bagi setiap kategori yang disertai:
Johan P15: Angel Teh
Naib johan P15 : Nur Alyssa binti Muhammad Suhaib
Tempat ke-6 P15: Nashwa Raqilla Alma binti Mohd Radzie
Tempat ke-10 L15: Muhammad Wafiq Hariri bin Mohamad Nazarudin
Tempat ke-13 L15: Muhammad Ali Hazim bin Mohd Yusrizal
Tempat ke-15 L15 : Adam Teh
Tempat ke-3 L18: Nik Muhammad Farish bin Zamri
Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua peserta atas usaha dan pencapaian cemerlang. Tidak dilupakan juga penghargaan kepada guru-guru pembimbing iaitu Cikgu Afzan, Cikgu Khairieyah, Cikgu Azizah, Cikgu Norani Basri dan Cikgu Siti Juriah atas dedikasi dan sokongan mereka sepanjang pertandingan ini.



KEJOHANAN TENIS MSSD PONTIAN 2026

Pada 6 hingga 9 April telah berlangsungnya Kejohanan Tenis MSSD Pontian 2026 bertempat di Gelanggang Tenis Majlis Daerah Pontian.

Pasukan Tenis SMKDPB telah menghantar 13 atlit bagi menyertai kejohanan tersebut. Dengan semangat juang dan taktikal yang ampuh, SMKDPB telah berjaya sekali lagi meraih gelaran Johan Keseluruhan MSSD Pontian pada edisi ini.
Beberapa pemain utama telah berjaya menjadi johan dalam kategori masing-masing, begitu juga dengan pemain-pemain lain yang tidak kurang hebatnya dengan turut meraih pingat dalam beberapa kategori dan menyumbang mata kepada sekolah.
Semoga kecemerlangan ini dapat diteruskan pada peringkat MSSJ nanti. Amin.


KEJAYAAN CEMERLANG ATLET AKUATIK SDPB

8.4.2026 - SMK Dato’ Penggawa Barat sekali lagi mencatatkan kejayaan membanggakan dalam Kejohanan Akuatik MSSD Batu Pahat & Pontian yang telah berlangsung pada 8 April 2026.

Dua orang atlet sekolah telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam pertandingan tersebut. Mohamad Amir Firdaus bin Fauzi telah berjaya merangkul empat pingat emas dengan menjuarai acara 50 meter gaya bebas, 50 meter kuak dada, 50 meter kuak lentang dan 50 meter kuak kupu-kupu bagi kategori lelaki bawah 15 tahun.
Turut mengharumkan nama sekolah ialah Felicia Tang Xin Le yang berjaya meraih tiga pingat emas menerusi acara 50 meter gaya bebas, 50 meter kuak dada dan 50 meter kuak lentang, serta satu pingat perak bagi acara 50 meter kuak kupu-kupu bagi kategori perempuan bawah 15 tahun.
Pihak sekolah merakamkan setinggi-tinggi tahniah atas pencapaian yang membanggakan ini dan berharap kejayaan ini menjadi inspirasi kepada seluruh warga sekolah untuk terus mencipta kecemerlangan.


MAJLIS PERPISAHAN

SMK Dato’ Penggawa Barat telah menganjurkan dua majlis penuh penghargaan bagi meraikan warga sekolah yang telah banyak berjasa.
Pada 1 April 2026, majlis penghargaan diadakan buat pembantu makmal iaitu Puan Noor Khalilla binti Basiran yang akan bertugas di Kolej Tingkatan 6, manakala Puan Roziah binti Abdullah dan Puan Junita binti Baharom akan bertugas di SDAHA.
Sementara itu, pada 3 April 2026, Majlis Perpisahan telah berlangsung bagi meraikan Cikgu Nik Fazlin binti Nik Kar yang akan bertugas di SMK Ayer Baloi, Ustaz Mohd Nasruddin Ihsan ke SMK Yunus Sulaiman dan Cikgu Muhammad Farhan Azwan ke SMK Bandar T6, Kluang.
Kedua-dua majlis berlangsung dalam suasana penuh penghargaan dengan pengisian seperti ucapan dan penyampaian cenderamata. Pihak sekolah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan serta mendoakan agar semua yang diraikan terus cemerlang pada masa hadapan.



PERTANDINGAN ANUGERAH NILAM PENDIDIKAN KHAS NEGERI JOHOR 2026

2.4.2026 - Dua orang murid PPKI SMK Dato’ Penggawa Barat telah terpilih mewakili daerah Pontian dalam Pertandingan Anugerah Nilam Pendidikan Khas Negeri Johor 2026 bertempat di Mersing pada 1 & 2 April 2026.

Hasil latihan intensif dan berfokus, Khairina Atiqah Binti Kamirul Fisal telah berjaya meraih tempat ke-3 manakala Aiman Daniel Bin Abdul pula meraih tempat ke-5. Masing-masing bertanding dalam kategori Pendengaran Menengah Lelaki & Perempuan.
Sekalung tahniah juga kepada Cikgu Halina selaku penyelaras Nilam PPKI dengan dibantu guru-guru PPKI yang lain. Semoga kejayaan ini menyemarak lagi budaya membaca dan cintakan ilmu dikalangan semua murid SMKDPB, khasnya murid-murid PPKI.

 


 


 


 


SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI 2026

1.4.2026 -SMK Dato’ Penggawa Barat telah menganjurkan Sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat sekolah dalam suasana penuh meriah, harmoni dan semangat kekeluargaan. Program yang berlangsung dari jam 10.30 pagi hingga 1.30 petang ini diadakan secara santai di kelas masing-masing, melibatkan penyertaan aktif semua warga sekolah. Marhaban dari kelas ke kelas turut diadakan bagi menambah kemeriahan sambutannya.

Majlis ini bukan sahaja bertujuan meraikan kemenangan setelah sebulan berpuasa, malah menjadi medium mengeratkan silaturahim antara guru dan pelajar dalam suasana yang ceria dan penuh warna-warni. Para pelajar dan guru tampil anggun serta segak mengenakan busana Hari Raya, menambahkan lagi seri sambutan pada hari tersebut.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Yang Dipertua PIBG, En. Kasbon bin Kasron, bersama barisan Ahli Jawatankuasa PIBG yang sentiasa memberikan sokongan padu kepada setiap program sekolah. Kehadiran mereka jelas mencerminkan hubungan erat antara pihak sekolah dan komuniti.
Pelbagai juadah tradisional seperti kuih-muih, lemang, ketupat dan aneka hidangan lain disediakan, mencipta suasana seperti beraya di kampung. Gelak tawa, senyuman dan kemesraan yang terjalin sepanjang majlis berlangsung membuktikan bahawa nilai kebersamaan dan muhibah terus subur dalam kalangan warga sekolah.
Diharapkan program seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai platform memupuk perpaduan, kasih sayang dan semangat kekitaan dalam kalangan seluruh warga SMK Dato’ Penggawa Barat.

 


 


 


 


SANJUNGAN BUDI, LAMBAIAN KASIH - PN ZABILIN BINTI HARJIN

1.4.2026 - Majlis Persaraan Cg Zabilin Binti Harjin

Dengan penuh rasa hiba, warga SMK Dato’ Penggawa Barat menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seorang insan yang tidak ternilai jasanya, Cikgu Zabilin Binti Harjin, yang telah menabur bakti selama 31 tahun dengan penuh dedikasi di SMKDPB sejak mula melapor diri pada tahun 1995.
Tiga dekad bukanlah satu tempoh yang singkat. Sepanjang perjalanan itu, beliau telah menjadi saksi jatuh bangun dunia pendidikan, namun tetap teguh berdiri sebagai pendidik yang berjiwa besar. Dengan kesabaran yang tidak bertepi, beliau mendidik tanpa jemu, membimbing tanpa lelah, dan menyemai harapan dalam jiwa setiap anak didiknya.
Setiap langkahnya di sekolah ini meninggalkan jejak yang bermakna—bukan sekadar dalam pencapaian akademik, tetapi juga dalam pembentukan sahsiah, nilai, dan jati diri murid. Senyuman, teguran, nasihat dan kasih sayang beliau akan terus terpahat dalam ingatan, menjadi kenangan yang sukar dilupakan.
Pemergian beliau sebagai seorang pendidik sepenuh masa pastinya meninggalkan kekosongan yang amat dirasai. Namun, legasi ilmu dan budi yang ditinggalkan akan terus hidup, mekar dalam setiap kejayaan anak didik yang pernah disentuh oleh keikhlasannya.
Terima kasih, cikgu… atas setiap pengorbanan yang tidak pernah diminta balasan.
Terima kasih atas setiap titik peluh yang dicurahkan demi anak bangsa.
Semoga segala jasa dan bakti yang dicurahkan menjadi amal jariah yang berpanjangan, dan semoga hari-hari mendatang dipenuhi dengan ketenangan, kebahagiaan dan rahmat daripada-Nya.
Selamat Bersara, Cg Zabilin Binti Harjin.
Jasamu dikenang, budimu disanjung, selamanya dalam ingatan.

 


 


 


 



TAHNIAH TUAN ZULKURNAIN BIN ABDUL RAHMAN

 1.4.2026 Tahniah


KEPUTUSAN SPM 2025

 31.3.2026 - Tahniah