HARI TERBUKA SEKOLAH 2014

10 Julai 2014 : Kerjasama dan penglibatan antara guru dan ibubapa amat penting dalam memastikan
kecemerlangan serta fokus pelajar berada tepat pada landasannya. Justeru, hari terbuka yang  diadakan saban tahun merupakan peluang terbesar untuk merapatkan hubungan para guru dan ibubapa. Pada hari khamis yang permai kali ini, para pelajar Tingkatan 3,4 dan 5 bersama ibubapa mahupun penjaga masing-masing telah terlibat dalam hari terbuka.

Seawal jam 8 pagi, kenderaan ibubapa  mula membanjiri perkarangan luar sekolah. Ibubapa dan penjaga dengan diringi para pelajar menuju ke dewan sekolah di mana sesi pertemuan dan perbincangan berlangsung. Sudah menjadi kelaziman, riak ceria dan bangga jelas terpancar pada wajah para pelajar yang telah berjaya mendapat keputusan yang cemerlang sebaliknya bagi pelajar yang kurang bernasib baik dalam peperiksaan akhir pertengahan tahun 2014 diselubungi kesuraman dan perasaan berat hati untuk berjumpa para guru.
Selaku guru di Sekolah Berprestasi Tinggi, mereka masing-masing telah menjalankan tanggungjawab dengan profesional, efisien dan secara ikhlas memberikan dorongan, galakan serta teguran membina kepada para pelajar bagi menaikkan motivasi para pelajar khususnya bagi mereka yang bakal menduduki peperiksaan awam yang dianggap besar dalam sistem persekolahan menengah di Malaysia iaitu PT3 dan SPM.  Ibubapa juga dilihat profesional dan terbuka dalam setiap perbincangan kerana mereka sedar dan percaya segala laporan guru berlandaskan fakta dan atas satu matlamat iaitu memperbaiki atau setidak-tidaknya mempertahankan tahap akademik dan kualiti anak masing-masing.
Peratusan ibubapa yang hadir juga meningkat dan ini merupakan petanda baik bagi keseluruhan warga SDPB MENJUARAI.  
Program yang antara lain bermatlamat untuk memaklumkan kekuatan dan kelemahan pelajar kepada ibu
bapa serta bersama-sama bertindak progresif untuk memajukan potensi diri pelajar bagi mencapai tahap cemerlang serta menyediakan diri pelajar yang berpotensi untuk lulus cemerlang ke arah persediaan lebih kompetitif ini tidak akan terhenti di sini sahaja. Pelbagai program kerjasama PIBG sedang giat dirancang bagi memastikan mutu pelajar yang lahir dari SDPB MENJUARAI tidak akan dipandang sebelah mata oleh masyarakat setempat khasnya dan masyarakat global amnya.