JAMBORI PENGAKAP ANTARABANGSA MELAKA BANDARAYA WARISAN DUNIA KALI KE-9



25 Mei - 30 Mei 2013 – Pasukan Pengakap Laut telah menyertai Jambori Antarabangsa Melaka Bandaraya Warisan Dunia Kali Ke-9 bertempat di Kem Pengakap Bukit Katil, Melaka. Seramai 3036 peserta dari  dalam dan luar negara menyertai jambori kali ini. Peserta-peserta luar negara terdiri dari negara Hong Kong, Singapura dan Indonesia. Kami terdiri daripada 7 orang pelajar dan seorang guru pembimbing. Kami tiba pada pukul 2.30 petang 25 Mei di Kem Pengakap Bukit Katil. Selepas mendaftar di sub kem Johor, maka kami pun mendirikan khemah. Antara tugasan yang diberikan kepada Daerah Pontian ialah AJK Kebersihan dan AJK Bantu Mula. Kami diminta menyediakan surau untuk kegunaan pengakap-pengakap Johor. Alhamdulillah dalam masa setengah jam kami berjaya menyiapkannya. Malam ini kami diberi taklimat untuk persediaan perasmian pada keesokan harinya.
                Hari kedua: Pada pagi ini kami menjalani raptai untuk acara perasmian yang dijadualkan pada pukul 11  pagi. Tepat jam 12.30 tengah hari majlis perasmian Jambori Antarabangsa disempurnakan oleh Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Wira Ir Hj Idris Hj Harun. Seterusnya pada sebelah petangnya kami dibawa melawat ke Menara Taming Sari, Muzium Samudera dan Melaka River Cruise. Pada sebelah malamnya kami menyertai kontinjen yang lain mempersembahkan acara kebudayaan secara bergilir-gilir
                Hari Ketiga: Pada pagi ini kami menyertai aktiviti XPDC (Pengembaraan) sejauh 5 kilometer. Terdapat 2 tugasan yang perlu kami lakukan sepanjang aktiviti ini berlangsung. Selesai sahaja XPDC maka kami pun melakukan tugasan yang lain untuk mendapatkan cap pengesahan. Antara aktivitinya ialah tarian, paint ball, pameran, permainan tradisional, simulator dan sebagainya. Kami amat gembira kerana melepasi sasaran mendapatkan 8 cap. Pada sebelah malamnya kami menyertai malam kebudayaan. . Pada malam ini juga diadakan Malam Indaba yang disertai oleh sesiapa yang berminat.
                Hari Keempat: Pada pagi ini kami menyertai aktiviti berkayak. Satu pengalaman yang menyeronokkan. Selesai aktiviti berkayak maka kami pun berkunjung ke setiap sub kem kontinjen negeri dan antarabangsa. Kami bertukar-tukar cenderamata dan lencana serta berkenal-kenalan dengan setiap peserta. Pada sebelah malamnya aktiviti kebudayaan dijalankan. Pada malam ini juga diadakan Malam Gilwell Reunion bagi pemimpin pengakap yang mendapat manik kayu.
                Hari Kelima: Aktiviti pada pagi ini ialah pertandingan di sub kem Johor. Kami menyertai aktiviti pertolongan cemas dan permainan KIM. Sesuatu yang menyeronokkan kerana mendapat pengalaman baharu. Pada hari ini juga kem pengakap dikejutkan dengan keharian Tuan Yang Dipertua Negeri Melaka,  Tun Datuk Seri Mohd  Khalil Yaakob. Beliau hadir ke tapak perkhemahan kerana cucu beliau juga turut serta melalui Kontinjen Pahang. Selepas itu kami mengadakan persiapan untuk mengadakan Rumah Terbuka Johor pada pukul 4.00 petang. Ramai tetamu VIP yang hadir termasuk Timbalan Pesuruhjaya Pengakap Malaysia. Pasukan kami ditugaskan di pintu masuk untuk menyambut tetamu VIP. Perasaan kami sungguh gembira kerana mendapat peluang mengalu-alukan ketibaan tetamu VIP. Seterusnya malam kemuncak ialah malam penutupan rasmi di mana kontinjen negeri Johor telah mengungguli tempat pertama dalam persembahan kebudayaan, tempat kedua dalam pertandingan inovasi dan tempat ketiga dalam pertandingan rintis. Hebatnya Johor.
Hari Keenam : Hari ini kami mengemas khemah serta peralatan. Seterusnya kami memastikan setiap kawasan di sub kem Johor bersih. Kami bertolak pulang pada pukul  10.30 pagi dan tiba di sekolah pada pukul 2.00 petang.

Semoga bertemu lagi di Johor International Jamboree (JIJ)  pada November ini.
Salam Pengakap!

KEM KECEMERLANGAN KIMIA KEBANGSAAN 2013.

Pada 24 hingga 26 Mei 2013, pelajar-pelajar Tingkatan 5 telah menyertai Kem Kecemerlangan Kimia Kebangsaan yang dianjurkan bersama Panitia Kimia SBPI Rawang, SM Sains Seri Puteri KL, SMAIWP, KL dan SMKDPB, Johor. Tn Hj Kahar merupakan salah seorang penceramah yang memberikan input kepada para peserta kem kecemerlangan. Kem ini dianjurkan di SBPI Rawang.


PENGUMUMAN KEPADA PELAJAR SPM DAN STPM 2012

Kepada pelajar-pelajar SPM dan STPM 2012 yang menyertai Majlis Graduasi pada 11 April yang lalu boleh menuntut gambar masing-masing. Pelajar SPM sila berjumpa Cikgu Anuar Salleh dan pelajar STPM sila berjumpa Pn Roseyatimah. Bagi pelajar-pelajar yang tidak dapat mengambilnya boleh mewakilkan kepada adik-adik atau rakan-rakan yang tinggal berdekatan. Sekian untuk makluman.

TAHNIAH ENCIK SHAIRUL AZMAN!


18 Mei - En Shairul Azman bin  Bahari dari SMK Dato’ Penggawa telah menerima  anugerah Naib Johan Guru Inovatif  Kategori Individu Sekolah Menengah, Peringkat Negeri Johor 2013.  Hasil inovasi beliau iaitu Kerja Rumah Terancang  Atas Talian yang boleh diakses melalui laman web SMKDPB.
         Hadiah disampaikan oleh  Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Besar Johor dalam majlis sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Johor yang berlangsung  di Pusat Islam  Iskandar Johor pada 18 Mei 2013. Tahniah dan syabas diucapkan.




PERASMIAN BILIK GURU DAN STESEN KAJI CUACA


 16 Mei – Perasmian Bilik Guru baharu  SMKDPB disempurnakan oleh Dato’Nasir Safar, Yang Dipertua PIBG SMKDPB. Bilik guru baharu ini dibina bagi menampung bilangan guru-guru SMKDPB seramai 125 orang. Bilik guru yang selama ini digunakan kurang selesa kerana sempit. Dengan adanya bilik guru baharu ini dapat memberi keselesaan kepada guru-guru.
                Seterusnya Dato Nasir Safar juga turut merasmikan Stesen Kaji Cuaca yang letaknya berhampiran surau. Stesen ini dibina bagi memudahkan pelajar-pelajar membuat kajian taburan hujan  di kawasan sekolah. Stesen ini dibina hasil inisiatif Panitia Geografi.
                Terima kasih diucapkan kepada Dato’ Nasir Safar yang sudi merasmikan Bilik Guru dan Stesen Kaji Cuaca SMKDPB walaupun hujan turun pada ketika itu. 


SAMBUTAN HARI GURU PERINGKAT SEKOLAH 2013

16 Mei 2013 : Majlis Sambutan Hari Guru telah berlangsung pada hari ini dengan dimulai acara perarakkan guru ke Dewan Seri Gemilang diiringi paluan kompang dan bunga magga. Majlis diteruskan dengan ucapan wakil pelajar, ucapan YDP PIBG dan ucapan perasmian oleh Pengetua Tuan Haji Hashim bin Mohd Dom.


Semua Guru Malaysia mempunyai satu aspirasi untuk membangunkan sistem pendidikan berkualiti bertaraf dunia seperti yang dihasratkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.
Adalah menjadi tanggungjawab semua guru ke arah melahirkan murid yang mempunyai enam aspirasi iaitu berpengetahuan,kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, beretika dan kerohanian serta beridentiti nasional.

1ASPIRASI juga diterjemahkan kepada cita-cita murni PPPM 2013-2025 iaitu ke arah sistem pendidikan negara yang memastikan akses kepada kejayaan, kualiti standard antarabangsa yang tinggi, ekuiti untuk semua murid, memupukperpaduan dalam kalangan murid dan pelaksanaan berkecekapan tinggi.
HURAIAN 1AGENDA:
Semua Guru Malaysia berpegang kepada satu agenda iaitu memastikan kejayaan PPPM 2013-2025.  Guru perlu berpegang teguh kepada etika profesion keguruan yang mempunyai satu agenda atau tugas utama iaitu melahirkan murid seimbang berdasarkan Falsasah Pendidikan Negara.

Pemeriksaan Kesihatan Rutin 2013

9 Mei 2013: Unit Perkhidmatan Kesihatan Sekolah dari Pusat Kesihatan Daerah Pontian telah mengadakan lawatan pertama pemeriksaan kesihatan rutin kepada para pelajar tingkatan 3,4 dan 5 SMK Dato' Pengawa Barat pada hari ini. Seramai 3 orang jururawat  terlibat dalam program tersebut. Matlamat program ini diadakan bertujuan untuk memastikan para pelajar sekolah sentiasa berada dalam kesihatan yang baik dan dipantau. Para pelajar diberi nasihat penjaga kesihatan secara terperinci dan sistematik.

Pendaftaran Tingkatan 6, 2013

8 Mei 2013 : Seramai 120 pelajar tingkatan 6 bawah telah hadir mendaftar mulai jam 9.00 pagi. Majlis Salam Sambut pelajar-pelajar baru telah disempurnakan oleh En.Mohd.Shaphri bin Mohd.Yusof. Program pada hari ini diteruskan dengan taklimat pendaftaran yang telah dikendalikan oleh Tn.Hj.Misran bin Selamat.

English Debate Pontian District 2013

8 Mei 2013: English Debate Pontian District 2013. Smkdpb successfully defended the Championship for 13 years. Defeated SmkSp in the Final;7 May 2013 on their own turf.

NAZIR BERKAMPUNG SEHARI DI SMK DATO' PENGGAWA BARAT 2013

3 Mei 2013 : Pada hari ini, pihak  Jemaah Nazir dari Putrajaya telah berkampung di SMK Dato' Penggawa Barat. Lawatan ini merupakan pemantuan penuh yang melibatkan aspek pengurusan dan pentadbiran, kewangan, panitia mata pelajaran, dan penyeliaan pengajaran. Penyeliaan pengajaran merangkumi hampir semua subjek. Lawatan Jemaah Nasir pada kali berkaitan dengan Tawaran Baru Pengetua yang merupakan satu insentif kepada peningkatan pencapaian sekolah dari segenap aspek. Pihak sekolah mengucapkan jutaan terima kasih di atas kehadiran pihak Jemaah Nazir ke sekolah. Setinggi penghargaan kepada semua jentara pengurusan sekolah yang terdiri daripada guru-guru, kakitangan sekolah, pekerja swasta dan para pelajar yang telah berusaha  membuat persiapan yang terbaik dan melaksanakan dasar-dasar sekolah secara ikhlas dan komited.